"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan? : Polis tahan suspek tunjuk 'anu' pada pelajar sekolah memandu

N Faizal Ghazali

Gara-gara menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita dalam kejadian di Kampung Saring, Pasir Puteh, seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga 'runner' institut latihan memandu ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Suprintendan Mohd Azmir Damiri, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 27 tahun yang juga pelajar di sebuah sekolah memandu di jajahan Bachok.

Sehubungan itu katanya, pihak polis menahan suspek di rumahnya di Kampung Telong, Bachok, untuk siasatan lanjut kes tersebut.

"Berdasarkan laporan, suspek ditugaskan untuk mengambil dan menghantar pelajar kelas memandu namun ketika kejadian dia bertindak mengeluarkan kemaluan untuk ditunjukkan kepada mangsa dalam kejadian di Kampung Saring, Pasir Puteh.

"Suspek pada awalnya membawa beberapa pelajar untuk pulang ke rumah masing-masing selepas latihan memandu sehingga hanya tinggal suspek yang memandu kereta jenis Perodua Viva dan mangsa berada di tempat duduk penumpang hadapan.

"Ketika dalam perjalanan menghantar mangsa, suspek dikatakan membuka zip seluar dan mengeluarkan kemaluannya," katanya ketika dihubungi.

Mohd Azmir berkata, terkejut dengan tindakan itu, mangsa kemudian menghubungi ibu saudara supaya mengambilnya dengan segera, selain mengarahkan lelaki itu memberhentikan kereta, namun tidak diendahkan.

"Wanita berkenaan bertindak membuka pintu sewaktu kereta sedang bergerak sehingga memaksa suspek memberhentikan kenderaan sebelum mangsa keluar melarikan diri ke kawasan rumah penduduk untuk meminta bantuan.

"Susulan laporan daripada mangsa, pihak polis menahan suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Saya menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita untuk bijak mengambil tindakan sekiranya berlaku kecemasan termasuk segera menelefon keluarga terdekat bagi meminta pertolongan," katanya.

Tiada ulasan: