"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga Exco Terengganu, SU Politik MB ‘tersungkur

MALAYSIA DATELINE

Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tewas dalam pemilihan Pas kawasan masing-masing yang telah diadakan serentak di seluruh Terengganu, kelmarin.

ADUN Paka yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat tewas merebut jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Pas Kawasan Dungun.

Satiful ‘tersungkur’ selepas dicabar Pegawai Penyelidik kepada Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani, lapor Terengganu Report.

Satiful yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sejak 2017 itu pernah dipilih sebagai Pesuruhjaya Pas negeri antara 2013 hingga 2017 sebelum ‘diturunkan pangkat’ menjadi Timbalan Pesuruhjaya II sejak 2017 hingga kini.

Dari kiri: Dr Mamad Puteh, Satiful Bahri dan Dr Azman Ibrahim.

Sementara itu, ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim kalah kepada pencabarnya iaitu Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bahri A Rahman.

Akibatnya, Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri gagal mempertahankan jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Pas Kawasan Setiu.

Kekalahan ‘nama besar’ dalam Pas Terengganu itu menjadi tanda tanya memandangkan Azman merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Penolong Setiausaha II Pas negeri pada masa ini.8

Dr Azman juga merupakan penyandang Pengerusi Kenaf dan Tembakau Negara sejak tahun lalu.

Turut kecundang dalam pemilihan Pas kawasan ialah ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri itu kalah kepada Pengarah sebuah agensi negeri, Kamaruzaman Abdullah dalam merebut jawatan Naib Yang Di-Pertua Pas Kawasan Hulu Terengganu.

Dalam masa sama, majoriti perwakilan Pas kawasan itu juga menolak Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid.

Setiausaha Pas negeri itu gagal mempertahankan jawatan Yang Di-Pertua Pas Kawasan Hulu Terengganu yang dipegangnya sejak 2013 apabila tewas kepada pencabarnya, Maliaman Kassim yang juga ADUN Ajil.

Tiada ulasan: