"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sajat bakal diisytihar muflis

MOHD YUNUS YAKKUB

SHAH ALAM – Usahawan kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat bakal tersenarai dalam kalangan individu muflis di negara ini selepas pemfailan pemiutang dilakukan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Pemfailan petisyen itu dilakukan Owa Resources Sdn. Bhd. menerusi Peguam Nurul Hafidzah Hassan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Prosedur tersebut merupakan langkah terakhir bagi menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripada Sajat kepada Owa Resources yang merupakan bekas stokis utama bengkung usahawan terbabit.

Nurul Hafidzah memberitahu, petisyen berkenaan difailkan selepas notis kebankrapan yang telah dikeluarkan terhadap usahawan berkenaan tidak mendapat sebarang maklum balas.

Katanya, menerusi perintah bankrap, Sajat boleh diisytiharkan muflis seterusnya menyebabkan segala aset termasuk rumah dan akaun bank milik Sajat diuruskan Jabatan Insolvensi.

“Petisyen berkenaan perlu diserahkan kepada Sajat dan sekiranya penyerahan itu gagal, kita akan membuat pengiklanan seterusnya kepada pendengaran dan perintah bankrap.

“Mungkin dalam sebulan dua lagi, kita akan perolehi keputusan (perintah bankrap) daripada mahkamah sekiranya Sajat terus gagal bayar jumlah penghakiman tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, pihak­nya setakat ini belum dapat mengenal pasti keberadaan Sajat yang didakwa kini berada di Australia.

Malah, jelasnya, tiada sebarang pengesahan dokumen me­nunjukkan bahawa harta dan perniagaannya telah dijual sebagaimana yang dikatakan usahawan itu.

“Saya tidak rasa semudah itu menjual harta seperti rumah kerana perlu lalui pelbagai prosedur seperti melantik peguam, menandatangani dokumen jual beli dan pengesahan daripada pejabat tanah.

“Tambahan, Sajat telah mempunyai notis bankrap dan mungkin dia sengaja ‘propa’ agar tiada siapa mencarinya (termasuk tuntutan bayaran hakiman sebelum ini),” jelasnya.

Ketika ditanya urusan penghantaran petisyen kepada Sajat yang didakwa berada di Austra­lia, Nurul Hafidzah menegaskan, pihaknya hanya akan menyerahkan pada alamat terakhir diketahui pihaknya ( iaitu di Damansara).

Kosmo! pada 24 Ogos lalu melaporkan Owa Resources memberikan kata dua kepada Sajat untuk menjelaskan hutang penghakiman RM200,000 atau diisytiharkan muflis.

Terdahulu, Sajat diberi notis kebankrapan melalui penyampaian ganti menerusi notis iklan dan penampalan selepas dibenarkan Mah­kamah Tinggi Shah Alam.

Ini susulan ke­ga­­galan Sajat mem­bayar jumlah peng­­­hakiman RM200,000 kepada Owa Resources selepas tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.

Tiada ulasan: