"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail Sabri Berkongsi Kuasa Dengan Mahiadin Rupanya

Keputusan untuk menentukan tarikh PRU15 bukan ditentukan oleh UMNO semata-mata, kata Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin.

Beliau berkata, antara terma persetujuan antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional atau PN ialah gabungan itu perlu dilibatkan dalam perbincangan bagi menentukan tarikh PRU15 hendak diadakan.

“Kita dengar di luar, kata PRU nak sampai (sudah dekat) tapi sebenarnya bukan UMNO saja yang menentukannya.

“Sebaliknya, semua parti terutama komponen PN akan berbincang dengan Perdana Menteri untuk tentukan masa yang sesuai bagi diadakan PRU berkenaan.

“Bukan UMNO saja yang tentukan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung tahunan Ke-4 Bersatu pagi tadi.

Mahiaddin berkata demikian sebagai responnya terhadap kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi,semalam yang menyatakan pimpinan parti itu akan mempertimbangkan satu usul bagi mengawalkan tarikh PRU15.

Seterusnya, bekas Perdana Menteri itu turut mengingatkan bahawa sokongan PN kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan dalam pembentukan kerajaan hari ini adalah berasaskan terma-terma tertentu yang telah dipersetujui.

“Penglibatan PN dalam menentukan tarikh PRU15 adalah salah satu daripada termanya

“Selagi terma ini dipatuhi, selagi itulah kita memberikan sokongan sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan PRU,” tegasnya lagi.

Malah, menurut Mahiaddin, Ismail Sabri turut mengakui bahawa UMNO kembali memegang tampuk kerajaan adalah disebabkan sokongan daripada PN.

“UMNO dapat berkuasa bukan kerana kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen, tetapi kerana sokongan yang diberikan oleh parti dalam PN, GPS, PBS dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

“Jadi saya ingin berpesan kepada individu tertentu di dalam UMNO – hormatlah sedikit dan jangan lupa diri,” kata beliau.

Alamak…ini benar-benar berita yang mengejutkan!!

Rupa-rupanya selain dengan PH, Ismail Sabri juga ada MOU dengan Mahiaddin dan PN.

Lebih dahsyat lagi, MOU itu ialah seolah-olah berkongsi kuasa dengan Mahiaddin berkaitan menentukan tarikh PRU15 akan datang di mana Perdana Menteri mesti berunding dengan PN terlebih dahulu mengenainya.

Maka, apa kuasa yang tinggal pada Perdana Menteri daripada UMNO ini?

Tapi kalau kuasa tertentu pun dikongsi dengan Mahiaddin, Ismail Sabri ini Perdana Menteri daripada UMNO atau Bersatu?

Adakah Zahid Hamidi dan MT UMNO nak berdiam diri lagi? – ShahbudinHusin 19/12/2021.

Tiada ulasan: