"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zakir Naik: ‘Saya belanja RM10,000 sebulan upah pengawal peribadi’

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini pendakwah kontroversi, Zakir Naik terpaksa mengeluarkan RM10,000 sebulan untuk mendapatkan perlindungan 24 jam bagi diri dan keluarganya selepas dakwaan kenyataan berbaur fitnah dibuat terhadapnya.

Ini menyusul kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, kata Naik ketika ditanya peguamnya, Akberdin Abdul Kader pada hari pertama perbicaraan saman fitnah difailkannya terhadap Ramasamy.

Naik, 56, penduduk tetap yang tinggal di Putrajaya, berkata disebabkan ketakutannya, polis menasihatkan beliau mengupah pengawal peribadi untuk diri dan keluarganya.

“Saya terpaksa membelanjakan RM10,000 sebulan untuk mendapatkan pengawal keselamatan hanya disebabkan defendan membuat kenyataan demi kepentingan politik.”

Naik memfailkan dua saman berasingan pada Oktober dan Disember 2019, mendakwa Ramasamy mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya, termasuk memanggilnya dengan gelaran tidak sopan di Facebook milik defendan pada 10 April 2016.

Naik berkata, semua kenyataan itu menyebabkan beliau mengalami penyeksaan dari segi mental, trauma dan tekanan kerana terdedah kepada bahaya selepas kenyataan Ramasamy mencetuskan kemarahan awam.

Katanya, kenyataan itu turut mencemarkan imej dan merosakkan reputasinya di mata orang ramai.

“Ia juga sangat mengaibkan saya dan menyebabkan saya dicemuh,” kata Naik yang mengakui ini kali pertama beliau memberi keterangan di mahkamah.

Naik memfailkan dua laporan polis di Putrajaya pada 16 Ogos 2019 terhadap Ramasamy, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, ADUN Bagan Dalam M Satees dan bekas diplomat Dennis Ignatius. Katanya, satu laporan khusus turut dibuat terhadap Ramasamy pada 3 Sept 2019.

“Ketika polis menjalankan siasatan ke atas laporan pertama (16 Ogos), saya dapati sukar untuk meneruskan aktiviti harian saya dengan keluarga di khalayak ramai disebabkan kenyataan berbaur fitnah itu.”

Naik, yang bercakap lantang seolah-olah memberi ceramah umum, berkata beliau cuba menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung niat dan maksud sebenar ceramahnya di Kota Bharu pada 8 Ogos 2019, dengan mengeluarkan kenyataan.

“Saya telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana saya tidak berniat mengaibkan mana-mana kaum, agama atau negara,” katanya sambil menambah kira-kira 20% hadirin dalam ceramahnya biasanya ialah orang bukan Islam.

“Saya tidak mahu mereka mempunyai persepsi negatif terhadap saya. Sebagai pendakwah, saya menyebarkan keamanan dan kasih sayang kepada orang bukan Islam.”

Beliau berkata, permohonan maaf itu bukan pengakuan dirinya bersalah, tetapi untuk menjelaskan dakwaan Ramasamy yang “mengarut”.

“Ia hanya menunjukkan kehebatan seseorang, jika permohonan maaf dibuat walaupun tiada kesalahan dilakukan.”

Naik berkata, Interpol juga tidak mengeluarkan notis merah untuk menahan dan mengekstradisinya ke India bagi menghadapi pertuduhan, walaupun pihak berkuasa penyiasatan mendakwa beliau terbabit dalam keganasan, pengubahan wang dan menyebabkan permusuhan antara agama.

Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Hayatul Akmal Abdul Aziz bersambung.

Tiada ulasan: