"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas ketua penerangan PAS anggap dipecat di luar perlembagaan

N Faizal Ghazali


story-image

Bekas ketua penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus Raja Arizal Raja Arif mendakwa pengguguran jawatannya oleh dibuat tanpa mengikut perlembagaan parti terbabit.

Menurutnya, keputusan pemecatan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Harian PAS Kuala Nerus yang bermesyuarat pada 14 April lalu.

Melalui proses itu juga, kata Raja Arizal, badan terbabit membuat keputusan tanpa memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan terlebih dulu.

"Pada hemat saya berdasarkan Fasal 28 (4) dan Fasal 28 (8) Perlembagaan PAS (pindaan 2000), ia tidak memberi mandat kepada jawatankuasa harian PAS kawasan bagi melaksanakan maksud dan tujuan tersebut," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Malah, tambah Raja Arizal, kegagalan PAS Kuala Nerus memahami peruntukan perlembagaan tersebut sebenarnya boleh mendatangkan aib dak kesipuan kepada mereka walaupun kawasan tersebut sudah wujud sejak lebih 62 tahun lalu.

Terdahulu Raja Arizal mengesahkan salinan surat yang dihantarnya kepada Yang Diertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Shukrimun Shamsuddin.

Untuk rekod fasal 28 (4) yang dipetik Raja Arizal menyatakan bahawa setiausaha, penolong setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya PAS Kawasan hendaklah dilantik oleh yang dipertua PAS kawasan dengan persetujuan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS kawasan.

Berkhidmat di pejabat MP

Penjawat terbabit akan memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali mesyuarat agung tahunan kawasan atau sehingga dia meletakkan jawatan, atau sebab-sebab lain yang menghalangnya bertugas.

Fasal 28 (8) pula menyatakan jawatankuasa kerja PAS kawasan berkuasa memberhentikan atau menahan seseorang ahli jawatankuasa daripada menjalankan kerja-kerjanya pada masa yang ditentukan.

Bagaimanapun ia tidak boleh memberhentikan seseorang ahli jawatankuasa kerja terbabit melainkan dengan persetujuan sekurang-kurangnya satu per dua daripada ahli jawatankuasa kerja kawasan itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Raja Arizal dipecat daripada jawatan ketua penerangan kerana mempunyai kaitan dengan anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini mengumumkan keputusannya meninggalkan PAS.

Khairuddin sebelum ini merupakan salah seorang pemimpin berprofil tinggi dalam PAS dan lantang bersuara bagi pihak parti berkenaan.

Selepas Pakatan Harapan dijatuhkan di luar pilihan raya pada akhir Feb 2020, Khairuddin yang juga setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat dilantik menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoditi oleh Muhyiddin Yassin.

Dia bagaimanapun digugurkan apabila Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan perdana menteri.

Tidak saja itu, Khairuddin turut gagal terpilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS, namun dibawa masuk ke badan tersebut melalui lantikan.

Kedudukan itu hanya bertahan seketika apabila Khairuddin dipecat daripada jawatan tersebut didakwa atas isu disiplin. Dia kemudian mengumumkan keputusannya keluar PAS.

Sebagai rekod Raja Arizal sebelum ini berkhidmat sebagai ketua eksekutif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, namun kini tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

"Sayugia saya menyarankan agar kepimpinan tertinggi PAS Kawasan Kuala Nerus menjalankan amanah yang diberikan berdasarkan tatkelola dan aturan perlembagaan PAS serta garis panduan Pejabat Agung PAS dengan cermat dan lebih teliti," katanya.

Sementara itu ditanya Malaysiakini mengenai langkah selanjut yang akan diambil ekoran pemecatan tersebut, Raja Arizal berkata "setakat ini" dia kekal "istiqamah bersama PAS."

Tiada ulasan: