"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki amuk, tetak ahli keluarga ketika berbuka

FMT Reporters

Polis memburu pekerja ladang nanas Mohd Adi Hashim, 38, yang disyaki menetak ahli keluarganya. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Seorang lelaki disyaki menetak empat ahli keluarganya menggunakan parang ketika berbuka puasa di sebuah rumah di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, Khamis lalu.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata susulan itu pihaknya kini memburu suspek dikenali Mohd Adi Hashim, 38, bekerja di sebuah ladang nanas dan beralamat terakhir di No 1003, Blok 12, Felda Air Tawar 3.

Beliau berkata, dalam kejadian 7.11 malam itu, isteri suspek yang berusia 30-an, ibu mentua berusia 50-an, adik ipar perempuan berusia 30-an serta adik ipar lelaki berusia 16 tahun parah.

“Siasatan mendapati, secara tiba-tiba, lelaki itu dipercayai mengamuk dan menetak semua mangsa yang berada di dalam rumah menggunakan parang. Ketika kejadian, dua anak lelaki masing-masing berusia lima tahun dan dua bulan berada bersama isterinya, namun kedua-duanya tidak cedera.

“Keempat-empat mangsa dirawat di Hospital Kota Tinggi dan berada dalam keadaan stabil. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Bernama.

Hussin berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima maklumat awam berhubung kejadian itu melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada 8.22 malam hari sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019 5121568 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi 07 8831222 atau balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: