"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah tolak PAS dalam ‘khemah besar’, Takiyuddin ucap ‘terima kasih’

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS menyatakan ‘penghargaan’ kepada Amanah yang mengesahkan parti berkenaan tidak mempunyai sebarang kerjasama politik terutama membabitkan Pakatan Harapan (PH), menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu, hari ini, yang enggan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, menerusi pendekatan “khemah besar”.

Takiyuddin berkata, PAS konsisten menyokong kerajaan persekutuan diterajui bersama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR.

“PAS mengucapkan terima kasih di atas kenyataan presiden Amanah yang mengesahkan bahawa PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dan sekaligus tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang, khususnya PH.

“PAS amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mohamad dalam kenyataannya, berkata pendekatan “khemah besar” tidak termasuk Bersatu dan PAS kerana tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah serta mandat rakyat.

Manakala, DAP menerusi pengerusinya, Lim Kit Siang, berkata parti itu menutup pintu kerjasama dengan Bersatu dan PAS kerana tidak lagi mempercayai kedua-dua parti itu yang didakwanya bersikap “tikam belakang”.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata PAS melalui pendekatan politik matang dan sejahtera sentiasa komited dan sedia berbincang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.

“Apa yang penting dalam era pasca pandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” katanya.

Tiada ulasan: