"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Rozaimi saran Ustaz Wadi masuk kursus orator

Selepas Ustaz Wadi nafi kait Perlis dengan Wahabi, Dr Rozaimi saran masuk kursus orator

FAZLI RADZI

Dr Rozaimi Ramle menyarankan supaya Ustaz Wadi Annuar memasuki kursus orator dan pengucapan awam susulan tindakan penceramah itu semalam yang menjawab kenyataan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) itu berkata, ceramah Ustaz Wadi dalam petikan video yang tular itu difahami kebanyakan orang sebagai merujuk pada Perlis walaupun Ustaz Wadi katanya tidak bermaksudkan demikian.

“Semalam Ustaz Wadi Anuar buat kenyataan bahawa beliau tidak menyebut atau mengaitkan Perlis ketika videonya berbicara tentang bahaya Wahabi.

“Saya bersyukur kerana sememangnya Perlis bukan Wahabi.

“Cuma ramai orang yang mendengar ceramah beliau faham dia maksudkan Perlis. Tapi dia sendiri tidak faham begitu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pagi Jumaat ini.

Semalam, Ustaz Wadi dalam kenyataannya menegaskan langsung tidak menyebut atau mengaitkan mana-mana negeri dalam negara ini, termasuk Perlis dalam potongan daripada rakaman penuh video ceramahnya di Langkawi, Kedah, pada 2017 itu.

“Saya percaya kenyataan saya berkaitan isu sujud yang menjadi ‘subject matter’ dalam kenyataan jabatan ( Mufti Negeri Perlis) itu adalah pandangan saya sebagai pendukung Mazhab Shafie,” kata Ustaz Wadi.

Mengulas lanjut, Dr Rozaimi menegaskan menjadi masalah apabila Ustaz Wadi maksudkan lain tetapi berbeza pula dengan pemahaman orang lain.

“Maka Ustaz Wadi perlu masuk kursus orator dan pengucapan awam supaya ceramah beliau mudah difahami kerana kita tidak mahu nanti akan ada program yang berbunyi:

“Selamat datang ke ceramah Ustaz Wadi maksud lain, sedangkan anda faham lain,” sinisnya.

Dalam masa sama, Dr Rozaimi bertanyakan negeri mana sebenarnya yang menyokong ajaran Wahabi yang antara lain memahami makna ayat al-Quran dan hadis secara literal dan membidaahkan atau menganggap sesat pelbagai amalan umat Islam di Malaysia.

“Cuma persoalannya, ceramah beliau (Ustaz Wadi) di sana-sini menyebut tentang bahaya Wahabi di Malaysia.

“Bila beliau nafikan Perlis, negeri mana yang endorse ajaran Wahabi itu? Perlu jelaskan kerana beliau menegaskan Wahabi ini bahaya,” ujar Dr Rozaimi.

Beliau turut berharap dialog dua hala antara Ustaz Qarni Edrus dan Ustaz Wadi akan dapat diadakan bagi menjawab pelbagai isu.

“Dengar khabar Ustaz Qarni Edrus telah menerima jemputan dialog bersama Ustaz Wadi Anuar ini.

“Eloklah, berdialog secara dua hala. Kadang-kadang bila berdepan ini banyak isu dapat diselesaikan.

Moga dialog ini jadi kenyataan,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: