"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Debat Anwar-Najib 12 Mei

Samuel Chua

PETALING JAYA: Debat umum antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berhubung isu Sapura Energy Bhd akan diadakan pada 9 malam, 12 Mei ini.

Ia akan diadakan di Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, semua media harus dibenarkan membuat liputan debat itu, merujuk kepada kem Najib yang berkata mereka berminat mengadakan debat itu secara langsung di Malaysia Gazette.

Kedua-dua pihak sebelum ini mempunyai pendapat yang berbeza mengenai bila perbahasan itu patut diadakan.

Fahmi yang diiringi Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil pada sidang media itu berkata, debat itu akan berlangsung dalam tiga segmen.

Segmen pertama akan menyentuh mengenai masalah yang dihadapi Sapura Energy, serta sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak, disusuli segmen kedua yang akan menyaksikan debat berhubung masa depan negara, merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir, dan hala tuju negara.

Ia akan diakhiri dengan sesi soal jawab dalam segmen ketiga.

“Kami percaya ramai yang menantikan debat perdana ini. Kami juga percaya acara ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan idea, hujah serta pandangan yang berbeza, dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik yang lebih matang,” kata Fahmi.

Sapura Energy, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengumumkan kerugian RM8.9 bilion tahun lepas, yang disifatkan Najib sebagai kerugian terbesar dalam sejarah bagi mana-mana GLC di negara ini.

Beliau mendesak agar syarikat itu diselamatkan, namun idea itu ditentang oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang berkata, dana itu boleh disalurkan untuk tujuan lebih baik.

Tiada ulasan: