"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN pertahan semua kerusi, jentera gerak atas nama gabungan

Anne Muhammad

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan semua kerusi yang disandangnya dan bertanding di kerusi berpotensi tinggi untuk dimenangi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan berkaitan pembahagian kerusi akan diumumkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

“Kita tunggu pengumuman rasmi,” katanya kepada media di Ibu Pejabat PN selepas mesyuarat gabungan itu yang disusuli mesyuarat Bersatu.

Beliau berkata, persiapan dan koordinasi PRU15 antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat PN dari 3 petang hingga 8 malam itu yang dihadiri semua wakil parti komponennya.

“Bincang juga calon dan kerusi yang akan ditandingi. Banyak perkara yang dapat diselesaikan malam ini.”

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat itu turut menetapkan semua jentera PN akan bergerak di bawah nama gabungan itu pada PRU nanti.

Katanya, PN akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi mengulas isu semasa, termasuk menganjurkan program gerai prihatin bagi meringankan beban rakyat berdepan kos sara hidup tinggi.

Bekas perdana menteri itu turut memberi bayangan PAS akan terus bersama gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

“Insya Allah, Insya Allah. Istiqamah kita kata,” jawabnya ringkas.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan keyakinan bahawa parti itu akan terus bersama PN.

“Jadi, saya fikir tak ada isu. Bukan sekadar dalam konteks PRU, tetapi kerangka lebih besar daripada PRU. Mana-mana kita boleh pakat dalam politik. Bagi saya, dalam politik ni, kurangkan musuh ramaikan kawan. Itu asas,” katanya.

PAS akan bermesyuarat Sabtu ini untuk memilih bersama Umno atau Bersatu dalam PN pada PRU15.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiga syarat untuk PAS kembali menjalin kerjasama politik dengan parti itu bagi menghadapi PRU15, iatu keluar daripada PN; memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengumumkan secara rasmi mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Tiada ulasan: