"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu konsert: Kerajaan Kedah gagal, MB 'koyak' - bekas exco

N Faizal Ghazali

Seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) membidas cara Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menangani acara konsert sempena Muda-mudi Weekend Fest di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Adun Kubang Rotan Asmirul Anuar Aris berkata sudah beberapa kali perkara seumpama itu berlaku sekali gus ia menggambarkan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Sanusi.

Katanya, agensi-agensi kerajaan negeri yang berkaitan sepatutnya membuat pemantauan ketika program berlangsung bagi mengelak perkara tidak diingini selain mewujudkan garis panduan atau modul bagi program berbentuk hiburan.

"Apabila ada konsert terhadap penonton menari secara liar orang kata. Ramai pakat hentam lebih-lebih lagi ia berlangsung berhampiran pejabat agama dan masjid negeri. Apabila berlaku perkara itu, jadi kita rasa terkejut.

"Tiba-tiba ada pihak yang juga penyokong blok kerajaan memetik gambar saya ke program itu dengan dakwaan kami sebagai menyokong dan penganjur. Saya rasa peliklah, apa kuasa kami sebagai pembangkang? Saya rasa itu satu fitnah dan tomahan yang cukup besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Wakil rakyat daripada Amanah itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia turut terlibat dalam penganjuran MMWF.

Terdahulu tular rakaman video memaparkan aksi penonton MMWF yang dilihat asyik menari.

Ia kemudian mengundang kritikan ke atas kerajaan negeri - yang diterajui PAS - mengenai langkah kawalan yang diambil pihak berkuasa.

Klip video itu juga menjadi perhatian ramai kerana lokasi kejadian adalah berhampiran dengan Masjid Zahir di tengah Alor Setar.

Susulan itu Sanusi mengumumkan kerajaan negeri mengharamkan serta-merta penganjuran konsert di negeri itu ekoran insiden dalam program MMWF yang tular di media sosial.

Sementara itu Asmirul berkata pihaknya membuat satu laporan polis berhubung tohmahan dan fitnah dilemparkan ke atas.

Kata bekas exco belia dan sukan Kedah itu, dia hanya menghadiri MMWF pada sebelah petang bagi menyokong usahawan-usahawan belia yang berniaga di acara tersebut.

"Saya pun tak tahu ada konsert, tiba-tiba ada penyokong kerajaan yang menyerang dan tularkan gambar saya ke acara itu.

"Apabila orang menyerang mereka (kerajaan negeri). Tiba-tiba mereka terus menyerang orang lain. Jadi kami buat laporan polis supaya ambil tindakan terhadap pemilik-pemilik akaun Facebook dan aplikasi TikTok yang pro menteri besar Kedah," katanya.

Tambahnya kejadian itu bukan kali pertama menunjukkan kelemahan pentadbiran Sanusi antaranya sebelum ini terdapat program Kedah Fashin Weeks, pertandingan bina badan wanita dan acara luncur air (surfing) di Langkawi yang menimbulkan kontroversi.

"Mereka tak ada satu pemantauan daripada pihak kerajaan negeri dengan bersungguh-sungguh. Saya pun bekas exco, ada orang yang akan hantar proposal, pegawai kita akan monitor.

"Kenapa kerajaan negeri kedah tidak membuat kerangka modul tentang bagaimana patut diberi garis panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya. Selepas itu ini berlaku mereka salahkan orang lain, lepas itu haramkan, dia yang 'koyak' sebenarnya.

"Kalau betul-betul mereka pantau dengan garis panduan oleh pejabat daerah atau agensi kerajaan pun rasanya memadai. Juga diselitkan dengan unsur-unsur islamik. Itu jawapan patut datang daripada menteri besar, bukan menyalahkan orang atas kegagalan pihaknya," tegas Asmirul.

Tiada ulasan: