"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokongan Melayu merudum punca Umno terdesak PRU awal

Malaysiakini

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata penurunan sokongan orang Melayu terhadap Umno merupakan sebab mengapa parti yang diterajui Ahmad Zahid Hamidi itu begitu terdesak untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal.

Pada kempen “Ayuh Malaysia” malam tadi bekas ahli parlimen Pandan itu mendakwa tinjauan parti itu baru-baru ini mendapati sokongan orang Melayu terhadap Umno telah menurun daripada 27 peratus kepada 18 peratus.

“Data dalam dua tiga bulan lepas, dari Julai sehingga September menunjukkan sokongan orang Melayu kepada Umno jatuh merudum.

“Awal Ogos, bila kita telefon 2,500 orang pengundi Melayu, kita tanya kalau esok mengundi, you nak undi siapa.

“Bila kita tanya macam itu, sokongan kepada Umno di kalangan orang Melayu ialah 27 peratus. Nombor dua PN, nombor 3 PH. Lebih kurang 51 peratus belum buat keputusan.

“Awal bulan Ogos (sokongan Melayu pada Umno) 27 peratus, sebelum skandal LCS meletup dan sebelum Najib (Razak) check in dekat hotel Kajang.

“Awal September, lepas Najib dah check in, lepas LCS dah pecah, saya tengok (data) saya pun tak percaya.

“Saya tak pernah tengok sokongan kepada satu parti jatuh merudum dalam satu bulan, daripada 27 peratus sokongan awal bulan Ogos, jatuh kepada hanya 18 peratus (pada September),” katanya.

Rafizi berkata, kebimbangan utama pembangkang ialah mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh yang akan menyebabkan banyak nyawa terkobran.

‘Ini bukan soal takut PRU’

"Saya nak jawab Umno, saya nak jawab Zahid. Ini bukan soal takut pilihan raya. Soalnya banjir ini melibatkan nyawa. Kalau tengok yang berlaku dekat Amerika Syarikat, sekarang ini berlaku taufan yang merosakkan ratus ribu rumah.

"Kajian meteorologi sebut kekuatan taufan itu hanya berlaku sekali dalam 500 tahun. Memang Amerika biasa ada taufan tapi tak ada taufan macam sekarang.

“Saya tengok dalam CNN, dia lalu jambatan besar, jambatan itu terbelah dua.

"Taufan yang ada sekarang bukan macam taufan yang ada sebelum ini. Negara paling maju, paling hebat pun dia tak boleh buat apa, sebab di luar jangkaan manusia akibat bencana alam dan perubahan iklim yang kita tak boleh kawal,” katanya.

Kata Rafizi, disebabkan itu dia mengingatkan kerajaan dan Umno supaya tidak mengambil mudah mengenai isu banjir.

"Seluruh kerajaan dari penjawat awam, polis, bomba, angkatan tentera, JPA sepatutnya tumpu untuk selamatkan rakyat.

“Yang kita kena kena bincang berapa banyak bot, sekolah mana yang kita nak gunakan untuk selamatkan rakyat. Ini yang kerajaan patut bicang," katanya.

Pada 30 Sept lalu, Zahid berkata meskipun jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh, Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri sementara masih mempunyai kuasa dan boleh melaksanakan tugas rasmi termasuk untuk menangani banjir

“Dari segi kuasa dan kawalan terhadap banjir pada musim tengkujuh perdana menteri masih ada kuasa dan sukar pula pembangkang menonjol peranan mereka apabila musim tengkujuh.

"Ini menyebabkan pembangkang berasa sangat terkesan. Pembangkang kurang mampu bersaing di padang sama rata dengan parti pemerintah sementara ketika pembubaran parlimen.

"Kelebihan ini tidak ada pada pembangkang dan inilah paling dibimbangi oleh pembangkang," katanya dalam hantaran di Facebook.

Rafizi sebelum ini melancarkan petisyen bagi membantah PRU diadakan pada musim tengkujuh tahun ini, walaupun Umno memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan keputusan majlis tertinggi Umno bahawa parlimen perlu dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15 tahun ini. Menurutnynya, perdana menteri juga akan mencadangkan tarikh pembubaran parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: