"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cedera, ugut jiran, wanita dipenjara 10 bulan

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Wanita warga Thailand dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk mencederakan jiran lelaki serta mengugut memukul mangsa dengan perengkuh paip, dua minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan hukuman itu terhadap Athin Chumjai, 43, selepas meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap mangsa berusia 53 tahun, dengan mengugut: You jangan masuk campur, nanti I pukul you" sambil memegang perengkuh paip.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan Blok K, Rumah Pangsa MPMBB, Bukit Piatu, dekat sini, pada 12 Jun lalu, jam 3.10 petang.

Jika disabitkan dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan di tempat sama, dia dituduh dengan sengaja mencederakan mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Manakala pertuduhan ketiga tertuduh sebagai warganegara Thailand bagi pemegang pasport AC 2164323 didapati tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial yang sah laku sehingga 29 Julai 2015 tanpa sebab munasabah.

Tertuduh didapati melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda minimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sharda Shienha menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama, kedua (tiga bulan) dan ketiga (10 bulan) bermula serentak dari tarikh tangkap.

Mengikut fakta sewaktu kejadian pengadu sedang berbual dengan rakan di tepi jalan berhadapan rumah pangsa terbabit sebelum didatangi tertuduh yang menjerit dan memarahi kawan pengadu kerana tidak berpuas hati soal pembaikan rumah.

Pengadu menasihati tertuduh supaya tidak bising namun wanita itu bertindak mencekik leher serta memukul mukanya hingga luka di muka dan calar di leher.

Terdahulu, tertuduh menangis teresak-esak ketika merayu hukuman ringan atas beberapa alasan termasuk mempunyai empat anak.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tiada ulasan: