"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Curi tabung surau, wanita dipenjara 4 bulan

FMT Reporters
Puteri Norazila Paimen @ Mohamed Inson dan Nur Hidayah Abdullah didakwa mencuri wang RM300 dari tabung derma milik di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya, Melaka pada 7 April lalu.
PETALING JAYA: Seorang wanita sarat mengandung dan adik angkatnya didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas tuduhan mencuri duit tabung derma surau berjumlah RM300 pada April lalu.

Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, tertuduh Puteri Norazila Paimen @ Mohamed Inson, 32, minta dibicarakan manakala Nur Hidayah Abdullah, 24, mengaku bersalah.

Menurut laporan Harian Metro, kedua-dua wanita itu didakwa mencuri wang RM300 dari tabung derma milik di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya pada 7 April lalu, jam 1.50 petang.

Mereka yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam Ng Fun Boon yang mewakili Nur Hidayah memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak dan seorang daripadanya sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau juga memohon Puteri Norazila yang sarat mengandung lapan bulan dibebaskan dengan ikat jamin yang rendah.

Sharda kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu 17 Jun lalu dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Mahkamah juga membenarkan Puteri Norazila dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan untuk serahan dokumen pada 31 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri.

Tiada ulasan: