"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR Kedah: PH tanding lebih kerusi di Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dijangka bertanding 20 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) bertanding 15 kerusi, menjelang PRN Kedah, kata Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Phahrolrazi Zawawi.

Katanya, bagaimanapun satu lagi baki kerusi belum diputuskan.

Beliau berkata, PKR kemungkinan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Amanah lapan kerusi dan DAP kekal dua kerusi.

“Saya berharap PKR akan diberikan satu lagi kerusi tambahan kerana terdapat satu kerusi masih dalam rundingan antara PH dan BN. Pada PRU14 lalu, PKR bertanding 10 kerusi dan menang tujuh DUN.

“Ketika itu Bersatu pun banyak bertanding, jadi kerusi ditandingi Bersatu kebanyakannya ditawar kepada BN dalam PRN ini,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurut laporan itu yang memetik sumber, baki satu kerusi itu merujuk DUN Suka Menanti.

Phahrolrazi berkata, secara keseluruhan kerusi ditandingi PH melebihi jumlah kerusi BN.

“Agihan agak seimbang, kemungkinan PH letakkan calon di 20 kerusi dan BN 16 kerusi atau selepas rundingan dimuktamadkan, beranjak kepada PH sebanyak 21 kerusi dan BN (15),” katanya.

Beliau yang sebelum ini bekas Adun Alor Mengkudu menyerahkan kepada parti sama ada PKR akan menamakannya sebagai calon.

Phahrolrazi sebelum ini merupakan ketua Amanah Kedah, namun dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan parti berhubung penamaan calon pada PRU15.

“Saya tak berkecil hati (tidak menjadi calon), terserah pada parti. Saya tak bertanding pun tak ada masalah, sebab saya akan fokuskan perhatian kepada jentera parti ke setiap DUN Kedah (selaku pengarah pilihan raya) untuk menang lebih kerusi,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu dimenangi Phahrolrazi pada PRU14 akan ditandingi parti itu berikutan ia kuota Amanah.

Tiada ulasan: