"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki disyaki bunuh teman wanita guna penyapu ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki diberkas kerana disyaki membunuh teman wanita menggunakan batang penyapu dalam kejadian di Taman Song Choon, Ipoh hari ini.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati pasangan kekasih itu tinggal di tingkat atas sebuah rumah kedai bersama bayi lelaki mereka berusia lapan bulan.

Katanya, polis menerima maklumat awal kejadian daripada seorang wanita pada 4.34 pagi tadi, memaklumkan berlaku pergaduhan “suami isteri”.

Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati seorang wanita terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa berusia 24 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” kata Yahaya, menurut Utusan Malaysia.

“Seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa mengaku memukul wanita itu dan dia ditangkap bersama tiga individu lain yang berada di lokasi kejadian.”

Beliau berkata, tiga individu berusia 29 hingga 65 tahun yang ditahan itu terdiri daripada ahli keluarga suspek, termasuk ibunya yang datang ke lokasi kejadian selepas dihubungi lelaki terbabit.

Tambahnya, saringan air kencing dilakukan ke atas keempat-empat individu ditahan, namun hanya teman lelaki mangsa didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Polis turut merampas empat unit telefon bimbit dan batang penyapu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian.

Yahaya berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Keempat-empat individu yang ditahan direman selama tujuh hari bermula hari ini, untuk siasatan lanjut.

Menurut Yahaya, bayi lelaki mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan.

Tiada ulasan: