"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tukang masak rompak pelancong dihantar ke Sekolah Henry Gurney

Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my
Muhammad Imran Yahya, 19, diiringi anggota polis ke Mahkamah Georgetown di sini, atas atas pertuduhan merompak pelancong asing bulan lalu. FOTO DANIAL SAAD

Muhammad Imran Yahya, 19, diiringi anggota polis ke Mahkamah Georgetown di sini, atas atas pertuduhan merompak pelancong asing bulan lalu. FOTO DANIAL SAAD
Georgetown: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pemuda berusia 19 tahun yang mengaku bersalah atas pertuduhan merompak pelancong asing bulan bulan lalu dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Hakim Mazdi Abdul Hamid mengarahkan pemuda terbabit menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka selama tiga tahun atau sehingga berusia 21 tahun atau mana-mana terlebih dahulu dalam tempoh berkenaan.

Tertuduh, Muhamad Imran Yahya yang bekerja sebagai tukang masak sebelum itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi.

Tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita di sebuah kedai makan di Lebuh Campbell dan mengambil beg mengandungi antaranya telefon bimbit, cermin mata, dan kunci kira-kira jam 5.20 petang pada 28 Oktober lalu.

Berdasarkan kesalahan itu, tertuduh yang beralamat di Balik Pulau didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh menunggang motosikal jenis Honda Dash merompak beg mangsa yang diletakkan di atas meja makan sebelum melarikan diri namun nombor plat kenderaan tersebut sempat dilihat saksi kejadian sebelum dia ditahan pada hari yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara maksimum bukan sahaja sebagai pengajaran untuk individu terbabit malah memberi iktibar kepada masyarakat memandangkan jenayah itu dilakukan di tempat awam secara terbuka.

Muhamad Imran yang tidak diwakili peguam ketika diberi peluang membuat rayuan dengan nada sebak berkata dia anak bongsu daripada empat beradik dan turut membantu menanggung kedua ibu bapanya yang kini tidak bekerja.

"Saya ingin membuat rayuan untuk kurangkan hukuman kerana tanggung ibu bapa tidak bekerja. Di rumah hanya abang sulung jaga ibu bapa. Saya tiada pendidikan hanya sekolah sampai darjah enam. Saya insaf Yang Arif," katanya.

Pemuda itu turut memberitahu motosikal yang digunakan ketika melakukan jenayah itu adalah kepunyaan ibunya dan mahkamah menjelaskan kenderaan itu boleh dituntut pemilik dengan mengikuti prosedur ditetapkan.

Sementara itu, dalam prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal di mahkamah berasingan, Muhammad Imran memohon untuk dibicarakan atas dua lagi pertuduhan merompak dua wanita lain pada 3 dan 28 Oktober lalu.

Kes pertama iaitu pada 3 Oktober didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan manakala bagi kes kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menawarkan jaminan RM5,000 dan RM7,000 bagi setiap pertuduhan beserta dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri pada setiap satu hari bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada ulasan: