"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 warga Myanmar ditahan disyaki seleweng 2,000kg minyak masak paket

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
S Jegan (kanan) memeriksa minyak masak paket satu kilogram yang paketnya dipotong dan diisi ke dalam tangki IBC untuk dijual kepada mereka yang melaksanakan perniagaan berskala besar. - NSTP/ NUR IZZATI MOHAMAD
S Jegan (kanan) memeriksa minyak masak paket satu kilogram yang paketnya dipotong dan diisi ke dalam tangki IBC untuk dijual kepada mereka yang melaksanakan perniagaan berskala besar. - NSTP/ NUR IZZATI MOHAMAD
BUKIT MERTAJAM: Beli minyak masak paket satu kilogram (kg) daripada peruncit dan pemborong sebelum ia dipindahkan ke dalam tangki dan dijual semula kepada individu yang menjalankan perniagaan berskala besar.

Itu modus operandi dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah stor haram di Permatang Pauh, di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, tiga warga Myanmar termasuk dua wanita berusia lingkungan 30-an dikesan sedang menggunting paket minyak masak untuk diisi ke dalam tangki IBC.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata pemeriksaan ke atas setor berkenaan menemukan kira-kira 2,000 kilogram (kg) minyak masak yang mana 720kg telah dipotong paketnya dan dimasukkan dalam tangki IBC, manakala bakinya iaitu 1,280kg masih dalam paket sedia bungkus.

"Berdasarkan siasatan, minyak masak ini dibeli daripada peruncit serta pemborong di kawasan sekitar sebelum dikumpulkan di stor ini untuk dipindahkan ke dalam tangki IBC.

"Minyak masak itu disyaki dijual kepada pihak 'big level' membabitkan perniagaan berskala besar seperti restoran dan tidak mustahil untuk kegunaan industri," katanya kepada pemberita.

Jelasnya, tiga pekerja warga Myanmar itu ditahan untuk membantu siasatan dan semua minyak masak yang ditemui disita bagi tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, katanya, stor haram terbabit dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu, namun temu bual ke atas tiga warga asing terbabit mendakwa baharu sehari bekerja di situ.

"Sebelum ini, mereka bekerja di kedai runcit berhampiran dan semakan mendapati masing-masing memiliki dokumen perjalanan sah, malah mempunyai permit kerja sementara dalam sektor peruncitan.

"Oleh itu, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mencari majikan mereka, selain mengenal pasti sama ada terdapat penglibatan pihak lain dalam aktiviti terbabit meliputi pemborong, peruncit mahupun pengilang," katanya.

Tiada ulasan: