"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Scammer’ tukar wajah lepas tipu lebih RM929,000

KOSMO
Xie menggunakan sebahagian wang untuk menjalani pembedahan plastik bagi elak ditangkap pihak berkuasa. - Weixin 
BANGKOK – Seorang wanita dari China menjalani pembedahan plastik dengan hasil penipuan berjumlah 1.52 juta yuan (RM929,132) sebelum melarikan diri ke Thailand, lapor saluran berita South China Morning Post.

Dia dilaporkan menjalani pembedahan plastik untuk mengelakkan diri daripada ditangkap selepas menipu enam mangsa dengan tawaran pekerjaan sebagai pramugari.

Penduduk sebuah blok apartmen di Bangkok melaporkan bahawa suspek yang hanya dikenali sebagai Xie, 30, itu sering menutup wajahnya dengan pelitup muka sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa dia ialah pendatang tanpa izin. 

Menurut pegawai Imigresen Thailand, beberapa anggota kastam dikerahkan ke rumah suspek di Bangkok dan memeriksa pasportnya semasa dia turun untuk mengambil makanan. 

“Xie memasuki Thailand pada penghujung 2022 dengan menggunakan visa dan mempunyai tempoh 15 hari untuk melancong di negara ini.

“Namun, tarikh visanya menunjukkan dia tinggal lebih daripada 650 hari di Thailand, menyebabkan suspek ditahan pada 7 Oktober lalu,” jelas pegawai berkenaan minggu ini. 

Semasa siasatan, Xie mendakwa pernah menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan terkenal sebelum dipecat. 

Bagaimanapun, polis Thailand mendedahkan bahawa dia dikehendaki di bawah Notis Biru Interpol.

“Antara tahun  2016 hingga 2019, dia didakwa menipu enam mangsa sebanyak 1.52 juta yuan dengan berjanji mendapatkan kerja pramugari untuk mereka.

“Sebahagian daripada wang itu digunakan untuk menjalani pembedahan plastik sebelum melarikan diri ke Thailand,” tambahnya. 

Bahagian Biro Imigresen Thailand menegaskan bahawa Xie akan dihukum mengikut undang-undang Thailand kerana tinggal lebih masa sebelum dihantar pulang ke China. – AGENSI

Tiada ulasan: