"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertembungan jawatan timbalan, naib presiden jadi tumpuan dalam pemilihan PKR

Yasmin Abdul Latif

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan petandingan jawatan timbalan dan naib presiden PKR bakal jadi tumpuan pada pemilihan parti yang tidak akan ditangguhkan selepas PRU16.

Ketika ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menduduki kerusi timbalan presiden selepas menewaskan Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan berlangsung 2022, yang turut menyaksikan Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan presiden.

Empat naib presiden dipilih pada pemilihan terdiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Nurul Izzah Anwar, Saraswathy Kandasami dan Awang Husaini Sahari pula dilantik selepas pemilihan berlangsung.

Dengan jangkaan Anwar tidak dicabar untuk mengemudi Pakatan Harapan (PH) pada PRU16, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata jawatan timbalan dan naib presiden pastinya menjadi rebutan kerana peranan besar bakal dimainkannya dalam strategi parti.

“Timbalan presiden jawatan strategik dalam membantu Anwar dan memberi gambaran kepada rakyat tentang barisan kepimpinan yang akan menyokong presiden.

“Jawatan naib presiden pula jadi tumpuan bagi pemimpin muda atau mempunyai sokongan akar umbi untuk memastikan mereka berada di barisan hadapan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata Biro Politik PKR memutuskan pemilihan parti tidak akan ditangguhkan, memandangkan tarikh jangkaan untuk PRU16 masih jauh.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata ada perbincangan serta pandangan dikemukakan mengenai penangguhan pemilihan dibuat selepas PRU16, namun tiada keputusan muktamad dibuat.

PKR lazimnya mengadakan pemilihan setiap empat tahun yang kali terakhir pada 2022.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan menjangkakan kedudukan Rafizi bakal berdasarkan kepada ‘gerakan politik’ dibuat segelintir pemimpin parti ketika ini.

“Kalau kita lihat sekarang pun kem Rafizi dan daripada kem pencabarnya telah memulakan gerak langkah dalam PKR itu sendiri,” katanya sambil menjelaskan pemilihan itu sebagai strategi PKR berdepan PRU16.

“Anwar melihat keperluan memperkemaskan struktur PKR lebih awal agar jentera parti dapat bergerak lancar.”

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata tiada keperluan mendesak bagi PKR menangguhkan pemilihan parti.

“PKR pada masa ini tidak menghadapi konflik besar seperti krisis antara Anwar dan Azmin Ali (bekas timbalan presiden), jadi patut buat ikut jadual.

“Jadi ada masa untuk memperbaiki hubungan antara yang menang dan yang kalah (sebelum PRU16),” katanya yang menjangkakan Anwar tidak akan dicabar.

Tiada ulasan: