Agensi
NATACHA Palavecino.
Buenos Aires: Cemburu mengakibatkan seorang lelaki Argentina berusia 23 tahun maut di tangan kekasih yang menyerangnya dengan pisau hanya kerana menyapa wanita lain di jalanan.
Oddity Central melaporkan, mangsa, Mariano Grinspun, 23, dari Gonzalez Catan iaitu sebuah bandar di wilayah Buenos Aires, Argentina, meninggal dunia selepas ditikam teman wanita kerana bersalaman dengan bekas rakan sekolah di jalanan.
Insiden mengejutkan itu berlaku pada awal pagi 21 Oktober, berhampiran jalan Balboa dan La Bastilla, di Gonzalez Catan.
Sebelum kejadian, Grinspun dan teman wanitanya, Natacha Palavecino, berjalan beriringan kemudian mereka terserempak dengan seorang wanita yang menyapa Mariano dan bertanya khabar.
Wanita yang menyapa Mariano pada pagi yang malang itu adalah rakan sekolah lamanya, tetapi itu tidak penting bagi teman wanitanya.
Ucapan ringkas wanita itu sudah cukup membuatkan Palavecino cemburu hingga dia mengeluarkan pisau tersembunyi dan menyerangnya .
Wanita itu diselamatkan Mariano. Lelaki itu berjaya menghentikan cubaan tikaman itu dengan tangannya.
Selepas gagal membunuh wanita yang mencetuskan kemarahannya, Palavecino menghunus pisau pada teman lelakinya dan menikam dada mangsa.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pertengkaran dan pergelutan itu selama beberapa minit dengan mangsa rebah ke tanah beberapa kali.
Saksi kejadian menghubungi perkhidmatan kecemasan, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan Mariano.
Siasatan lanjut mendapati Palavecino mempunyai rekod jenayah lampau.
Pada 2021, dia disabitkan dengan penjara satu tahun kerana menikam bekas teman lelaki di dada, malah Mariano sendiri membuat laporan polis berhubung dakwaan diugut dan mengalami kecederaan fizikal disebabkan teman wanitanya itu.
Pada Julai tahun lalu, perintah sekatan dikeluarkan, Bagaimanapun, Mariano memutuskan untuk memberi peluang lagi kepada teman wanitanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan