FMT Reporters
Kejadian berlaku semalam di terminal bas Penang Sentral, ketika mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas untuk ke KL Sentral.
PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket bas ekspres dinaikinya semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira 6 petang di terminal bas Penang Sentral, ketika mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas itu untuk ke KL Sentral.
Ketua Polis Seberang Perai Utara Anuar Abd Rahman berkata, pemandu bas berusia 36 tahun yang melaporkan kejadian itu pada 7.40 malam mendakwa, 10 minit selepas mangsa menaiki bas, seorang penumpang memaklumkan bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.
“Hasil pemeriksaan polis terhadap tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit,” katanya, lapor Berita Harian..
Polis turut mendapati hujung kabel yang digunakan mangsa cair serta peranti terbabit turut berada dalam keadaan panas.
Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal, namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Anuar berkata, hasil bedah siasat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja itu maut akibat renjatan elektrik.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan