"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu Kuala Terengganu desak Hamzah isytihar gencatan politik dalaman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bersatu Kuala Terengganu mendesak Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin mengisytiharkan gencatan politik dalaman yang menjejaskan imej parti dan menghakis keyakinan rakyat.

Bahagian itu dalam mesyuarat pada Jumaat turut menuntut Hamzah menafikan sebarang dakwaan mengaitkannya dengan “gerakan subversif” atau cubaan menggugat kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin.

Ia turut meminta Hamzah menjelaskan hubungan dengan ahli sedang berdepan tindakan tatatertib.

“Memberi penjelasan telus mengenai isu-isu yang timbul selepas PRN Sabah serta mengambil tanggungjawab kolektif terhadap prestasi parti,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Hamzah perlu bertanggungjawab atas kegagalan Bersatu, yang meletakkan 33 calon, memenangi sebarang kerusi pada PRN Sabah.

Katanya, Bersatu sedang melalui fasa kritikal akibat pertelagahan dalaman, justeru ia mendesak semua pimpinan tertinggi menghentikan segera sebarang bentuk perbalahan, kenyataan bercanggah dan serangan di media sosial.

“Tumpuan parti mesti kembali kepada rakyat, bukan drama politik dalaman.

“Pihak lawan kini mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap perpecahan ini untuk melemahkan sokongan kepada Bersatu.”

Menurutnya, tiada parti boleh memenangi PRU jika kepimpinannya bercakaran dan saling meragui.

“Kami mahu melihat Bersatu kembali kuat, tersusun dan bersatu di bawah satu nakhoda,” katanya menggesa pimpinan tertinggi dan ketua cawangan patuh serta akur terhadap keputusan dalam Perhimpunan Agung Tahunan 2025.

Ia turut menggesa mereka bersatu menyokong kepimpinan parti, menghentikan pengaruh dan gerakan boleh membawa perpecahan serta menghormati keputusan Lembaga Disiplin.

Ketegangan semakin memuncak susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat empat ketua bahagian.

Wan Saiful menuduh beberapa individu rapat dengan Muhyiddin merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin, dengan menuding jari ke arah Setiausaha Agung, Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz.

Muhyiddin berdepan desakan melepaskan jawatan presiden parti. Bulan lalu, Hamzah dilaporkan berkata, Muhyiddin berhasrat menyerahkan jawatan presiden kepadanya apabila beliau berundur, sambil menambah Muhyiddin akan menentukan masa peralihan kepimpinan itu.

Hamzah berkata, beliau menyuarakan sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai presiden Bersatu.

“Tidak sepatutnya timbul lagi persoalan tentang perkara itu kerana saya telah memberikan sokongan penuh kepada presiden saya,” katanya dalam wawancara bersama BFM.

Tiada ulasan: