Mary Victoria Dass

Muhammad Imran (kiri) mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak di Mahkamah Sesyen – FOTO NSTP
JOHOR BAHRU: Juruteknik mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan termasuk melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini.
Tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Nor Azati Jaafar.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11 pagi 5 April tahun lalu di Pasir Gudang, di sini.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa pada tarikh dan alamat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga membabitkan mangsa yang sama pada tarikh dan alamat sama, tertuduh didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dengan cara merakam video kanak-kanak dengan keadaan pakaian diselak.
Bagi pertuduhan keempat pada jam 10.30 pagi pada 5 April tahun lalu di lokasi sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dua bulan.
Untuk pertuduhan kelima membabitkan mangsa yang sama di lokasi dan alamat sama, dia didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dengan cara merakam video kanak-kanak dalam keadaan pakaian diselak.
Bagi pertuduhan keenam, pada jam 10.59 pagi pada tarikh dan alamat sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun tiga bulan.
Untuk pertuduhan ketujuh membabitkan mangsa di alamat dan tarikh yang sama, tertuduh didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dengan cara merakam video kanak-kanak dalam keadaan pakaian diselak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Kanak- Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang enam sebatan.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual 2017 terhadap kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual 2017 Terhadap Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebatan.
Tertuduh mengangguk tanda memahami semua pertuduhan sebelum mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Nur Farah Wahida menyatakan mengikut laporan Hospital Permai, tertuduh disahkan layak untuk dibicarakan.
Tertuduh pernah membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi kesemua pertuduhan sama pada 29 Ogos lalu.
Nor Azati Jaafar menetapkan 27 Februari depan sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Tertuduh memohon supaya dibenarkan untuk dijamin berikutan mahu mendapatkan maklumat daripada majikan kerana mendakwa sedang bekerja pada tarikh didakwa melakukan kesalahan itu.
Bagaimanapun, tertuduh tidak ditawarkan jaminan sebaliknya dinasihati melantik peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan