NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI

Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris yang runtuh di Hulu Terengganu, hari ini.
HULU TERENGGANU – Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, di sini dikhuatiri terjejas ekoran penutupan Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris berhampiran ekoran runtuhan tanah, hari ini.
Kejadian pada 7 pagi itu menyebabkan laluan tersebut mengalami runtuhan selebar 15 meter dan sepanjang 40 meter.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati runtuhan bahagian tepi dan bawah cerun laluan berkenaan disebabkan oleh arus deras air bawah tanah.
“Laluan itu kini tidak selamat untuk semua kenderaan. Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Sungai Tong–Jerteh–Kuala Krai–Aring 8.
“Begitupun, ia merupakan satu-satunya akses ke Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka yang dikhuatiri boleh mengganggu proses penghantaran bekalan bahan api bagi kegunaan generator elektrik di pusat pelancongan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Sharudin berkata, notis kecemasan telah dihantar kepada pihak berkenaan bagi permohonan segera kerja-kerja pembaikan jalan itu.
Beliau berkata, buat masa ini, pelan pengurusan trafik serta penghadang konkrit telah dipasang di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan