Hazira Ahmad Zaidi
KUALA KRAI: Remaja lelaki yang hilang selepas tong drum yang dijadikan perahu terbalik ketika menjala ikan di kawasan kebun getah dinaiki air berhampiran Masjid Mukim Pemberian Al Mahdi di sini, ditemui lemas hari ini.
Mayat Muhammad Syahril Hakimy Sudin, 19, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada 9.02 malam pada kedalaman empat meter, susulan kawasan kebun digenangi limpahan air Sungai Lebir.
Difahamkan, Muhammad Syahril Hakimy adalah pemain ragbi Kelantan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Duha Abdul Halim berkata, mayat pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor itu ditemukan pada jarak 50 meter dari lokasi dia hilang.
“Mangsa dipercayai menjadikan tong drum sebagai perahu sebelum ia terbalik ketika menjala ikan di kawasan kebun getah yang ditenggelami banjir.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam dan operasi mencari dan menyelamatnya segera dilaksana hingga mangsa ditemui,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, jiran mangsa, Syafirul Iman Mohd Rasdhi, 20, berkata, Muhammad Syahril Hakimy dipercayai keluar menjala ikan sekitar 3 petang.
“Kehilangannya disedari seorang penduduk kampung pada 6 petang selepas menemui selipar dan jala miliknya di tebing, manakala tong drum yang dinaikinya didapati terbalik,” katanya yang memaklumkan mereka melakukan pencarian terlebih dahulu sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.
Menurutnya lagi, arwah juga dikatakan sedang bercuti dan berada di rumah keluarga di Kampung Pemberian.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan