"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lakukan amang seksual terhadap 2 kanak-kanak perempuan, bekas guru tuisyen didakwa di mahkamah

Zuhainy Zulkiffli
Boon Jye (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan. FOTO NSTP
BALIK PULAU: Bekas tenaga pengajar di sebuah pusat tuisyen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lim Boon Jye, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Boon Jye didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang punggung dan memeluk kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 3 hingga 4 petang pada Mac 2024 di sebuah pusat jagaan di Persiaran Pantai Jerjak 6, Bayan Lepas, dalam daerah Barat Daya.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut dan pipi kanak-kanak itu pada masa dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Boon Jye didakwa mengikut Seksyen 14(a) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk pinggang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun antara jam 8 pagi hingga 1 tengah hari pada Mei tahun lalu di lokasi sama.

Manakala bagi pertuduhan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium bibir dan kepala kanak-kanak perempuan terbabit pada masa dan lokasi sama.

Jika sabit kesalahan bagi semua kesalahan itu, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.

Asma’ ‘Amira ketika prosiding tidak menawarkan jaminan, manakala Savinder meminta jaminan minimum terhadap anak guamnya berikutan tertuduh mempunyai seorang anak dan isterinya kini mengandung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang bekerja jurutera jualan di syarikat swasta, diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport dan melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai serta tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 15 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes itu.

Tiada ulasan: