"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi ingatkan ahli PAS berjuang hingga 'syahid'

Malaysiakini 

Sehari selepas menimbulkan kembali istilah "syaitan bisu" yang pernah popular beberapa dekad lalu, Abdul Hadi Awang hari ini membuat teguran keras ke atas ulama tertentu.

Menurut Abdul Hadi, perjuangan PAS adalah untuk mengangkat Islam yang sempurna supaya diletakkan di tempat yang paling tinggi.

Malah kata Presiden PAS itu, dalam perjuangan tersebut, ada antara ahli parti terbabit berdepan dengan pelbagai kesan serta tindakan, termasuk "gugur syahid".

Menafikan PAS sebagai 'penunggang agama' ahli politik berusia 78 tahun itu berkata, tuduhan tersebut dilontarkan oleh sama ada pihak yang jahil atau agamawan yang "berpihak kepada musuh."

Dia juga menegaskan PAS berjuang bagi mendapatkan kuasa politik demi mendaulatkan Islam yang berkuasa memerintah, namun parti itu didakwanya menjadi sasaran semua kumpulan yang anti-Islam.

"Malah, PAS berjuang sehingga ada kalangan ahlinya yang menjadi korban dan gugur syahid oleh pembunuhan, dizalimi sehingga dihumban ke dalam penjara, ditahan (kenaikan) pangkatnya walaupun paling layak dalam jawatan kerajaan, dibuang kerja, dinafikan bantuan, dan pelbagai lagi tindakan yang zalim.

"Semua ini disebabkan perjuangannya menegakkan Islam, bukan menunggang Islam yang mudah melompat dan melarikan diri," katanya dalam tulisan panjang Minda Presiden di media sosial hari ini.

Sejarah politik PAS beberapa kali menyaksikan berlaku insiden yang melibatkan kematian namun yang paling ketara ialah tragedi pada 19 Nov 1985 di Memali, Kedah.

Dalam kejadian itu 18 orang terbunuh, melibatkan 14 penduduk kampung tersebut serta empat anggota polis.

PAS menganggap kematian ahli atau penyokong mereka dalam insiden lebih 40 tahun itu sebagai syahid.

Semalam Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS tidak dapat menerima gagasan perpaduan Melayu Islam selagi ia melibatkan kumpulan "syaitan bisu" serta pihak lain yang tidak sealiran dengan parti berkenaan.

Tak khianati pusaka nabi

Hal itu kerana, katanya, PAS hanya bersedia bekerjasama dalam perpaduan yang “mengikut ketetapan Allah”.

Mengenai ulama yang jahat, Abdul Hadi berkata, Islam memberikan amaran keras ke atas golongan terbabit kerana tidak amanah dengan ilmu yang ada pada mereka.

Kumpulan itu, kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, enggan menegakkan Islam kerana kepentingan peribadi.

"Al-Quran memberikan amaran sebagai iktibar mengenai keburukan adanya ulama jahat yang boleh dipergunakan oleh syaitan dengan kesenangan hidup, sehingga menjadi laksana anjing belaan bagi merosakkan manusia," katanya.

Abdul Hadi menjelaskan tokoh ilmuan silam membahagikan ulama kepada dua kumpulan iaitu yang baik - dikenali sebagai ulama akhirat - dan yang jahat (ulama dunia).

Hal itu kerana, katanya, seseorang ulama bukan bersifat maksum seperti para nabi sehingga mereka terpelihara daripada berbuat dosa.

Menurut Abdul Hadi, ulama akhirat ialah mereka yang bertakwa kepada Allah dan menjadi pewaris kepada pusaka para nabi yang meneruskan perjuangan mereka.

"Para ulama PAS bukan waris yang mengkhianati pusaka para anbia," katanya lagi.

Tiada ulasan: