"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi balun UMNO kaw-kaw

Sanusi perlekeh dan hina UMNO habis-habisan
Harapandaily

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat memperlekeh dan menghina UMNO secara terbuka apabila menggambarkan parti itu sebagai tidak bernyawa tanpa jawatan dan pencalonan, selain mempersoalkan kedudukan UMNO sekiranya memilih untuk bertanding secara solo.

Dalam sedutan ucapannya yang tular, Sanusi menyatakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang masalah jika UMNO mahu bergerak bersendirian dalam pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menganggap tindakan UMNO itu bermaksud tidak menganggu Pas untuk meletakkan calonnya, sambil menegaskan semua 33 kerusi DUN Kedah sudah dikuasai PN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu malah mempersendakan keupayaan UMNO untuk bekerjasama dengan PN dengan mempersoalkan kerusi mana yang boleh dituntut UMNO.

“UMNO kata nak bertanding solo. Kita pun suka sebab dia tak kacau kita.

“Kita kerusi (DUN) semua kita pegang dah. 33 atas PN. Dia (UMNO) nak pakat dengan kita dia nak kerusi tang mana?

“Dia boleh tang (letak calon bertanding) Sidam, Bakar Arang dan Kota Darul Aman.

“(Tiga) tempat tu ramai Cina sebab kawan dengan DAP… UMDAP… bolehlah menang 3 kerusi tu,” perlekehnya.

Untuk rekod, ketiga-tiga kerusi DUN di Kedah yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRN Kedah 2023 disandang oleh kaum Cina.

Kerusi DUN Sidam dan Bakar Arang masing-masing dikuasai PKR dengan diwakili Bau Wong Bau Ek dan Adam Loh Wei Chai manakala Kota Darul Aman disandang Teh Swee Leong dari DAP.

Tidak boleh bernyawa

Nada sindiran Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah seterusnya dilihat semakin keras apabila mendakwa UMNO tidak mampu “bernyawa” tanpa jawatan dan pencalonan.

“UMNO ni kalau mereka tiada jawatan, tak jadi calon, dia (UMNO) putus nafas. Dia tak boleh bernyawa. Bila jadi ketua bahagian, dia kena jadi calon.

“Dia boleh bertanding di 36 DUN, 15 kerusi Parlimen. 51 kerusi kesemuanya. Setiap orang ada kerusi untuk bertanding,” tempelaknya lagi.

Sanusi turut mendakwa keinginan UMNO untuk bertanding solo bukan berpaksikan strategi atau perkiraan matematik politik, sebaliknya didorong kepentingan individu untuk membina pengaruh, menjadi ‘warlord’ dan mengumpul kekayaan melalui jawatan serta pencalonan.

Dalam perbandingan yang jelas merendahkan UMNO, Sanusi mendakwa Pas berbeza kerana mampu bergerak tanpa jawatan atau projek, malah bergantung kepada sumbangan derma ahli dan penyokong.

“Kalau (UMNO) duduk macam kita ni, tiba-tiba datang (permohonan) nak derma buat dewan, mampus dia lari tak cukup tanah. Dia tak boleh hidup.

“Pas tidak. Tiada jawatan dan projek, asalkan ada minta derma, kita bagi. Itu beza Pas dengan UMNO. Nak tangkup macam mana tu?” sindir Sanusi lagi.

Tiada ulasan: