NOR SHAFAWATI YUP
SEREMBAN – Sembilan individu termasuk dua pengurusan tertinggi IJM Corporation Bhd. (IJM) telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, hari ini bagi membantu siasatan dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.
Difahamkan individu berkepentingan yang dipanggil termasuk seorang pengurusan tertinggi bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua sembilan individu tersebut hadir memberi keterangan bermula pukul 10 pagi tadi dan pihaknya mengesahkan tiada sebarang tangkapan akan dibuat.
“Sekarang kita memang menjalankan siasatan terhadap beberapa dakwaan melibatkan sektor korporat ini, namun terlalu awal untuk memberi sebarang komen dan kita akan menyiasat perkara ini.
“Sekiranya ada kes kita akan teruskan siasatan dengan lebih lanjut, jika tiada kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek dan Perasmian Pusat Latihan Asas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca), Bandar Enstek Nilai, di sini hari ini.
Azam berkata, semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau persepsi negatif berhubung siasatan kes tersebut memandangkan ramai yang membuat dakwaan terutama di platform blog dan sebahagiannya tidak tepat.
Semalam media melaporkan, SPRM sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan syarikat IJM berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan