"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Enggan benarkan isteri bermalam, suami ugut bapa mentua dengan samurai

Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Enggan benarkan isteri bermalam di rumah bapanya dipercayai punca seorang lelaki hilang pertimbangan hingga tergamak mengugut bapa mentua dengan pedang samurai.

Kejadian berlaku kira-kira 8 malam di Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 39 tahun datang ke rumah mangsa bersama adik lelakinya dan bertindak agresif serta mengamuk, memegang pedang samurai.

Katanya, adik suspek berusia 27 tahun pula dipercayai membawa parang, sekali gus menimbulkan ketakutan kepada mangsa berusia 63 tahun.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila isteri suspek iaitu anak perempuan mangsa ingin bermalam di rumah bapanya, namun tidak dipersetujui suspek sehingga berlaku pertengkaran.

“Suspek kemudian datang ke rumah mangsa dalam keadaan marah dan mengugut dengan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, mangsa yang bimbang akan keselamatan dirinya segera membuat laporan polis dan susulan itu suspek dan adiknya ditahan pada 12.10 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Merotai Besar.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan ugutan dan pecah masuk, manakala adiknya tiada kesalahan lampau.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: