"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai imigresen, isteri berdepan 60 pertuduhan rasuah, aktiviti haram RM900,000

FMT Reporters

Mohamad Fazli Abdul Rahim didakwa menerima suapan dan ubah wang RM789,000, manakala Suhana Ismail beli emas RM125,000 hasil aktiviti haram.

PETALING JAYA: Pegawai imigresen mengaku tidak bersalah atas 53 pertuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang berjumlah RM789,100, manakala isteri berdepan tujuh pertuduhan hasil aktiviti haram berjumlah RM125,850.

Tertuduh, Mohamad Fazli Abdul Rahim, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di dua Mahkamah Sesyen Shah Alam berasingan.

Isteri, Suhana Ismail, 44, didakwa menggunakan RM125,850 bagi pembelian emas di dua kedai emas, hasil daripada aktiviti haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta 613 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan di sebuah bank di Telok Panglima Garang, antara 12 Ogos 2023 hingga 27 Feb 2024, lapor Berita Harian.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan Suhana dijamin RM40,000 dengan dua orang penjamin.

Dalam pada itu, Fazli melibatkan 42 pertuduhan didakwa menerima suapan RM510,500 menerusi pindahan wang ke sebuah akaun syarikat daripada akaun seorang lelaki warga asing.

Dia juga didakwa menerima suapan itu menerusi pindahan wang dari syarikat milik lelaki warga asing terbabit dan menerusi akaun seorang wanita tempatan sebagai upah melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur ditetapkan imigresen.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Feb 2023 hingga 26 Ogos 2024, di dua cawangan bank di Subang Jaya dan Telok Panglima Garang, Kuala Langat. Justeru, dia didakwa melakukan Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri ke Pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Di mahkamah sama, Fazli turut mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan memindahkan wang keseluruhan RM278,600 dari akaun sebuah syarikat ke akaun tiga individu lain yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 Julai 2022 hingga 19 Ogos 2024, di dua bank sama.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen 2, Mohamad Fazli mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima suapan RM10,400 daripada seorang lelaki warga asing bagi kesalahan sama, iaitu membenarkan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 antara 6 hingga 17 Ogos 2023 di dua cawangan bank yang sama.

Sebutan semula kes bagi pasangan suami isteri itu ditetapkan pada 10 Mac ini.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi dan Mohd Alimi Mustapha, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.

Tiada ulasan: