V Anbalagan
Mahkamah Rayuan mengembalikan pertuduhan bunuh terhadap Ahmad Faisal Omar selepas ketepikan dapatan Mahkamah Tinggi mengenai provokasi melampau dan mengejut.
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan rotan terhadap Ahmad Faisal Omar selepas memutuskan dia membunuh Nuraliya Damia Hairi, lapan tahun lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Bekas pelajar kolej dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan selepas Mahkamah Rayuan disabitkan membunuh teman wanitanya, lapan tahun lalu.
Hakim Azmi Ariffin ketika menyampaikan asas penghakiman, menyatakan tiada provokasi melampau dan mengejut bagi mewajarkan pengurangan pertuduhan Ahmad Faisal Omar daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat.
Mahkamah Rayuan yang turut dibarisi pengerusi panel Hakim Azman Abdullah dan Zaini Mazlan, mengetepikan hukuman penjara 15 tahun dikenakan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan hukuman penjara 30 tahun, bermula dari 24 Mei 2018.
Ahmad Faisal, 26, didapati bersalah membunuh Nuraliya Damia Hairi, 19, di Taman PD Permata Lukut di Port Dickson, Negeri Sembilan, antara 8.30 malam hingga 10.30 malam, pada 24 Mei 2018.
Timbalan Pendakwa Raya Aznin Ariff berhujah bahawa tekanan kuat dikenakan pada leher mangsa membuktikan Ahmad Faisal berniat menjerutnya sehingga mati.
Mahkamah juga mengambil maklum 13 hari sebelum kejadian, Nuraliya melakukan ugutan untuk mendedahkan butiran hubungan intim mereka kepada ahli keluarga Ahmad Faisal, selepas lelaki itu cuba memutuskan hubungan.
Peguam bela Diar Isda Yazmin Ismail, mewakili Ahmad Faisal, berhujah hakim perbicaraan tidak terkilaf dari segi undang-undang atau fakta apabila memutuskan wujudnya provokasi melampau dan mengejut.
Namun, Azmi menolak hujah itu dengan menyatakan pembelaan berkenaan tidak terpakai bagi Ahmad Faisal memandangkan dakwaan provokasi tersebut berlaku jauh lebih awal, dan bukannya sejurus sebelum pembunuhan itu dilakukan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan