"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Enam PATI cuba keluar guna laluan tikus di perairan Tanjung Piai

Togi Marzuki
Foto APMM
PONTIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) meninggalkan Malaysia melalui laluan tikus tidak diwartakan di perairan Tanjung Piai di sini malam semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, berkata semua lelaki itu ditahan melalui Op Khas Pagar Laut 1/2026 pada jam 11.30 malam.

Katanya, enam lelaki berusia 21 hingga 55 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai pergerakan sebuah bot mencurigakan dan dipercayai membawa individu keluar dari negara secara haram.

"Susulan itu, sebuah bot ronda digerakkan ke lokasi sebelum mengesan bot berkenaan kira- kira 1.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai.

"Bagaimanapun, bot cuba melarikan diri ke arah perairan negara jiran, namun berjaya dipintas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua suspek dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Wanita tempatan jangan terburu-buru kahwin warga asing – Al-Sultan Abdullah

NORFARHIZA MOHD ATAR
AL SULTAN Abdullah berkenan memasyhurkan Masjid Baharu Kampung Simpang Tebing Tinggi yang dinamakan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Simpang Tebing Tinggi di Jerantut, hari ini.
JERANTUT – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kecenderungan perkahwinan antara wanita tempatan dengan warga asing yang dikhuatiri boleh membawa kesan buruk sekiranya tidak dibuat dengan penelitian wajar.

Baginda bertitah, walaupun Islam tidak melarang perkahwinan merentasi bangsa dan negara selagi mematuhi hukum syarak serta undang-undang, wanita di negeri ini dinasihatkan supaya tidak terburu-buru membuat keputusan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Menurut baginda, perkahwinan bukan sekadar berlandaskan perasaan semata-mata, sebaliknya merupakan amanah besar yang memerlukan pertimbangan matang dan kebijaksanaan.

“Perkahwinan bukan sekadar ikatan rasa, tetapi satu amanah besar yang menentukan arah perjalanan hidup seseorang. Berhati-hatilah agar tidak tersalah langkah. Sekali tersilap memilih pasangan kesannya boleh berpanjangan,” titahnya.

Al Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Baharu Kampung Simpang Tebing Tinggi yang dinamakan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Simpang Tebing Tinggi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kemungkinan terdapat segelintir warga asing yang mempunyai niat tidak baik terhadap wanita tempatan termasuk mengambil kesempatan atau memperdaya demi kepentingan peribadi.

“Sebelum melangkah ke alam perkahwinan selidiklah dengan teliti asal usul, latar belakang, pekerjaan serta kemampuan sebenar bakal pasangan selain jangan mudah terpesona dengan janji manis,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Wanita ditemukan maut dengan 14 kesan tikaman di bilik hotel

Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga asing ditemukan maut dengan 14 kesan tikaman di seluruh tubuh di bilik hotel dekat Taman Maju Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat mangsa berusia 37 tahun itu pada 5.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa berkemungkinan meninggal dunia antara 1.30 pagi hingga 4.30 pagi dan terdapat 11 kesan tikaman di bahagian dada serta masing-masing satu kesan tikaman di leher, jari telunjuk dan lengan kanannya.

“Suspek dipercayai seorang lelaki warga asing yang melarikan diri selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian 07-2182323.