"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohamed Salah cipta sejarah

Reuters
Mahmoud Trezeguet dari Mesir meraikan gol ketiganya bersama Mohamed Salah dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia 2026 menentang New Zealand di BC Place, Vancouver, Kanada. - Foto Reuters.
Mahmoud Trezeguet dari Mesir meraikan gol ketiganya bersama Mohamed Salah dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia 2026 menentang New Zealand di BC Place, Vancouver, Kanada. - Foto Reuters.
Vancouver: Mohamed Salah sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon bola sepak Mesir apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi jaringan ketika membantu negaranya mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan Piala Dunia.

Kejayaan menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi Kumpulan G di Vancouver itu turut meletakkan Mesir di tangga teratas kumpulan dengan empat mata daripada dua perlawanan.

Selepas seri 1-1 dengan Belgium dalam aksi pembukaan, skuad kendalian Hossam Hassan bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan bersejarah yang mampu mengubah perjalanan mereka di pentas dunia.

Salah yang kini berusia 34 tahun terus menjadi nadi serangan Mesir meskipun tidak lagi berada di kemuncak prestasinya selepas menamatkan sembilan musim bersama Liverpool.

Jurulatih Mesir sekali lagi meletakkan Salah di posisi lebih tengah di belakang penyerang Omar Marmoush dalam formasi 4-2-3-1 dan percaturan itu membuahkan hasil.

Mesir dikejutkan dengan gol pembukaan New Zealand, namun berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Mostafa Zico pada minit ke-58.

Sembilan minit kemudian, Salah mempamerkan sentuhan kelasnya apabila melakukan gerakan satu dua bersama Zico sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk meletakkan Mesir di depan.

Kapten Mesir itu kemudian menjadi arkitek gol ketiga apabila sepakan penjuru yang diambilnya disudahkan Mahmoud Trezeguet untuk mengesahkan kemenangan.

"Kami boleh mencipta sejarah dan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

"Dalam beberapa tahun akan datang, orang ramai akan mengingati ini sebagai antara pencapaian terbaik kami," kata Salah.

Beliau turut memuji sokongan luar biasa penyokong Mesir yang membanjiri Stadium BC Place dengan warna merah.

"Rasanya seperti kami bermain di Mesir.Semua orang gembira dan teruja. Suasananya sangat hebat," katanya.

Salah menamatkan perlawanan sebagai pemain terbaik dengan lima percubaan ke arah gol selain terus menambah sumbangan kepada tiga penglibatan gol dalam dua perlawanan setakat ini.

Mesir yang sebelum ini gagal melepasi pusingan pertama dalam penampilan Piala Dunia pada 1934, 1990 dan 2018 kini berada di landasan terbaik untuk melakar sejarah baharu apabila bakal bertemu Iran dalam aksi terakhir kumpulan di Seattle.
-hmetro 

Tiada ulasan: