"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Messi, Mbappe buru sejarah Piala Dunia

AFP

Los Angeles: Lionel Messi hanya memerlukan satu lagi gol untuk muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia apabila juara bertahan, Argentina berdepan Austria dalam aksi Kumpulan J di Dallas, awal pagi nanti.

Bintang berusia 39 tahun yang menyambut hari lahirnya pada Rabu lalu menyamai rekod 16 gol milik legenda Jerman, Miroslav Klose selepas meledak hatrik ketika Argentina menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi pembukaan.

Kapten Argentina itu dilihat menitiskan air mata selepas menjaringkan gol pertama dan kemudian diketahui bapanya sedang menjalani proses pemulihan akibat masalah kesihatan yang tidak didedahkan.

Walaupun berdepan situasi peribadi yang sukar serta baru pulih daripada kecederaan hamstring, kehadiran Messi terus menjadi sumber inspirasi buat rakan sepasukan.

"Jika ada yang beranggapan pasukan ini lebih baik tanpa Leo, perlawanan ini membuktikan Leo adalah pemain paling penting buat kami," kata pemain tengah, Alexis Mac Allister selepas kemenangan ke atas Algeria.

Argentina mampu mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati sekiranya menewaskan Austria dan bakal muncul juara kumpulan sekiranya Jordan gagal mengatasi Algeria dalam satu lagi aksi Kumpulan J.

Sementara itu, penyerang Perancis, Kylian Mbappe bakal membuat penampilan ke-100 bersama negaranya apabila bertemu Iraq di Philadelphia.

"Tiada yang lebih besar daripada angka 100. Ia satu angka bersejarah dan peluang mencapainya di pentas Piala Dunia menjadikan perlawanan ini sangat istimewa buat saya," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu kini berkongsi kedudukan dengan legenda Jerman Barat, Gerd Mueller, dengan 14 gol Piala Dunia selepas menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pertama Kumpulan I.

Naib juara 2022 itu dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Iraq dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati, meskipun ramalan ribut petir di Philadelphia berpotensi mengganggu perlawanan.

Norway dan penyerang sensasi mereka, Erling Haaland, yang meledak dua gol ketika membelasah Iraq 4-1, turut berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya sekiranya menewaskan Senegal di New Jersey dan Perancis mengatasi Iraq.

Dalam perkembangan lain, pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck, terpaksa melupakan baki saingan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali kiri ketika membantu pasukannya menewaskan Ivory Coast 2-1, Sabtu lalu.
-hmetro

Tiada ulasan: