NURUL IZZATI ZAINI

Gambar yang dimuat naik ibu Allahyarham di Facebook.
KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika sedang mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.01 malam selepas mangsa disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila mangsa dipercayai terjatuh ketika mandi di bilik air rumahnya sehingga mengalami kecederaan.
“Mangsa kemudiannya dibawa oleh ahli keluarga ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama bagi tujuan bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selain diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran yang dimuat naik di akaun Thread @Dyra_zainal memaparkan dakwaan seorang kanak-kanak maut selepas dipercayai terjatuh ketika mandi sehingga sinki di bilik air pecah dan terkena bahagian leher mangsa.
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak itu dalam satu hantaran di Facebook memuat naik beberapa keping gambar serta video memaparkan pemergian anak ketiga daripada enam beradik itu.
“Adrian dah pergi tinggalkan Umi selamanya. Maafkan Umi, sayang, Umi sayang Adrian. Adrian tunggu Umi dekat syurga ya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan