FMT Reporters
PETALING JAYA: Suri rumah parah ditetak suami menggunakan parang dalam kejadian dipercayai akibat cemburu, di sebuah rumah di Kampung Mangkupa, Kota Marudu, hari ini.
Mangsa dilaporkan mengalami 14 kesan luka termasuk pada leher, bawah dagu, kedua lengan dan tapak tangan, kening serta lutut kanan.
Ketua Polis Kota Marudu Simiun Lomudin, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu 9.06 pagi sebelum laporan polis dibuat sebagai maklumat pertama.
“Kira-kira 8.30 pagi, mangsa keluar ke halaman rumah sebelum ditegur suspek agar tidak berbual dengan jiran lelaki. Mangsa menafikan dakwaan itu dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
“Saksi di dalam rumah melihat suspek mengambil parang dari dapur dan menuju ke arah mangsa sebelum merebahkan mangsa serta meletakkan parang di lehernya,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, saksi itu kemudian bertindak bersembunyi bersama anaknya dan hanya mendengar mangsa menjerit meminta pertolongan.
Simiun berkata, beberapa minit kemudian, jiran yang baru pulang dari ladang getah menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah jiran, sebelum menghubungi talian kecemasan 999.
Mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan