FMT Reporters
PETALING JAYA: Lelaki dipenjara 39 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Putrajaya atas tiga pertuduhan merogol anaknya sejak berusia 12 tahun sehingga hamil.
Hukuman diputuskan Hakim M Kunasundary terhadap tertuduh berusia 46 tahun itu, lapor Kosmo.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu awal 2024, hujung 2024, dan Jun lalu, antara 12 tengah malam sehingga 12 tengahari.
Mengikut fakta kes, kejadian rogol itu terbongkar selepas tertuduh membawa mangsa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa hamil enam minggu empat hari.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya V Suloshani, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Dalam pada itu, Kunasundary menegaskan kesalahan dilakukan amat keji dan penderitaan dialami mangsa sejak berusia 12 tahun tidak boleh diketepikan.
“Dalam menjatuhkan hukuman ini, mahkamah sedar tertuduh telah mengaku bersalah pada tarikh pertama dihadapkan ke mahkamah.
“Namun, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yan amat keji dan penderitaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh adalah ibarat haruan makan anak,” katanya.
Selain hukuman penjara dan sebatan, Kunasundary turut mengenakan perintah tambahan dengan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan