Faiz Zainudin dan Fatin Ahmad Darji
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional mengumumkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Pejuang diterima masuk sebagai parti komponen.
Pengerusi Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat tergempar majlis tertinggi PN malam tadi, dihadiri pemimpin PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.
“Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti untuk menjadi parti anggota PN yang baharu,” katanya pada sidang media, seusai mesyuarat di ibu pejabat PAS yang berlangsung selama dua jam.
Parti Cinta Malaysia, yang permohonan untuk menyertai PN diterima malam tadi, dijenamakan semula sebagai Wawasan selepas diambil alih oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin serta penyokong beliau.
Pejuang ditubuhkan oleh bekas pengasas Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, selepas keahlian beliau dan penyokong dipecat Bersatu. Ia kini dipimpin oleh anaknya, Mukhriz.
Dalam pada itu, Samsuri mengumumkan agihan kerusi bagi PRN Johor akan dibincangkan esok, diketuai oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor.
Penggunaan lambang pada PRN kelak juga belum dibincangkan, katanya.
Sanusi menggalas jawatan tersebut selepas Samsuri menghentikan khidmat pemimpin Bersatu, Radzi Jidin, pada 17 Jun lalu, dalam suatu ‘penstrukturan semula’ pentadbiran PN bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Radzi adalah pemangku timbalan presiden Bersatu.
Bersatu masih PN
Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu pemberita bahawa mesyuarat malam tadi tidak membincangkan keahlian partinya.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba di ibu pejabat PAS bagi mesyuarat tergempar MT PN.
Mesyuarat diadakan ketika kerjasama PAS dan Bersatu telah tamat, berlatarkan kemelut antara kedua-dua parti.
Menurut Muhyiddin, mesyuarat hanya membincangkan keahlian parti baharu yang mahu menyertai PN.
“Tak bincang keahlian Bersatu. Tunggu kenyataan,” katanya ketika ditemui.
Sebelum mesyuarat, Muhyiddin menegaskan Bersatu akan kekal dalam PN ‘sampai bila-bila’.
Selain itu, PAS sebelum ini mengumumkan ia menyokong Wawasan untuk menyertai PN.
Terdahulu, sekumpulan penyokong PAS berhimpun di luar ibu pejabat ketika ketibaan pemimpin-pemimpin parti komponen PN.
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden beritahu hadirin memsyuarat pemimpin-pemimpin PN malam ini akan berlangsung secara tenang, memandangkan perbezaan antara mereka hanyalah ‘pendirian politik’.
Samsuri malam tadi berkata mesyuarat berlangsung secara harmoni, dan kedudukan Bersatu dalam PN tidak dibincangkan.
“Suasana yang sangat harmoni. Perbincangan masing-masing boleh mengutarakan pandangan masing-masing dengan bebas. Tidak ada sekatan. Boleh bersuara dengan apa juga cara sekalipun,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan