FMT Reporters
Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali berkata siasatan dijalankan selepas bapa mangsa buat laporan polis.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang remaja lelaki dipukul rakannya dalam satu kejadian di sebuah padang di Taman Uda di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
PETALING JAYA: Polis menerima laporan dan menyiasat kes seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipukul dua rakan sekolahnya di sebuah padang di Taman Uda di Alor Setar, Kedah yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali berkata, bapa mangsa membuat laporan polis pada 20 Jun lalu selepas dimaklumkan mengenai video tular berkenaan, lapor Sinar Harian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang pada 16 Jun lalu dan rakaman video tersebut kemudiannya menjadi tular di media sosial.
“Mangsa dan kedua-dua suspek merupakan kenalan sejak darjah satu serta menetap di kawasan perumahan yang berhampiran. Mereka juga belajar di sekolah dan kelas yang sama,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, salah seorang suspek bertindak memukul dan menendangnya kerana mendakwa mangsa mengganggu teman wanita suspek.
Syed Basri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan seorang remaja lelaki menendang rakannya yang sedang duduk di kerusi menyebabkan mangsa rebah ke tanah sebelum menendang mangsa sekali lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan