"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 termasuk polis direman berkait dadah dalam lokap

Bernama

IPOH: Polis menahan tiga individu termasuk seorang anggotanya berpangkat konstabel dan merampas sejumlah dadah pelbagai jenis ketika melakukan pemeriksaan di Balai Polis Lumut, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata anggota IPD Manjung menemukan dadah jenis methamphetamine, heroin dan kanabis bersama dua orang kena tuduh (OKT) berusia lingkungan 40-an yang berada di dalam lokap balai polis tersebut pada kira-kira 8.30 pagi.

“Polis menemukan 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 109.54g serta 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan 110.37g.

“Polis turut menemukan 23 punjut plastik mengandungi bahan daun-daun kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 142.31g,” katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum di pekarangan IPK Perak, hari ini.

Beliau berkata, berkata nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan RM18,534.

Alwi berkata, susulan penemuan tersebut, polis turut menahan seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia lingkungan 30-an yang bertugas di balai polis tersebut bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga individu mendapati dua orang positif dadah jenis methamphetamine manakala anggota polis terbabit negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

“Semuanya direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Anggota tentera sebabkan rakan cedera terkena tembakan direman tiga hari

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
ANGGOTA tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam dibawa ke Mahkamah Seremban untuk direman. FOTO Ahmad Hasbi
ANGGOTA tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam dibawa ke Mahkamah Seremban untuk direman. FOTO Ahmad Hasbi 
Seremban: Anggota tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam direman tiga hari.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, permohonan reman dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret di sini.

"Permohonan terhadap suspek dibuat di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin.

"Reman terhadap suspek yang berusia 20-an itu dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Ogos depan bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai keadaan mangsa yang juga berusia 20-an, Mohd Nasharudin berkata, anggota tentera itu berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

"Keadaan kecederaan sebenar mangsa belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan rasmi pemeriksaan daripada doktor yang merawatnya," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut merampas satu senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, kira-kira jam 2.15 petang Rabu.

Mohd Nasharudin dilaporkan berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.

Kedah: Isteri orang dicekup khalwat dengan lelaki warga China

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ISTERI orang dan lelaki warga China dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Merawan, Kulim. FOTO Ihsan PADK.
ISTERI orang dan lelaki warga China dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Merawan, Kulim. FOTO Ihsan PADK.
Kulim: Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki warga China dalam serbuan di Taman Merawan, di sini, tengah malam tadi.

Wanita berusia 27 tahun yang mempunyai dua anak lelaki berusia enam dan lapan tahun itu mengenali warga asing terbabit sejak lima bulan lalu selepas bekerja di kilang sama di daerah ini.

Dia didakwa sering memberi alasan bekerja lebih masa kepada suaminya dan ke rumah sewa lelaki berusia 39 tahun itu, kononnya untuk melakukan kerja yang membabitkan komputer.

Difahamkan, suami wanita itu yang berusia 30-an sudah lama mengesyaki kelakuan sumbang isterinya, namun tiada bukti sehinggalah terbongkar malam tadi.

Ketika serbuan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), lelaki itu hadir di lokasi bersama ibu bapa mentuanya.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, tangkapan dilakukan pada 12.40 tengah malam berdasarkan maklumat dan aduan awam yang diterima.

"Ketika serbuan pasangan terbabit berada dalam bilik tingkat bawah rumah dua tingkat itu dengan wanita berkenaan memakai baju kelawar, manakala lelaki warga China terbabit berseluar pendek hitam dan mengenakan baju lengan pendek.

"Pasangan itu hanya berkomunikasi melalui terjemahan bahasa melalui telefon bimbit malah pihak kami turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat disebabkan lelaki itu tidak fasih berbahasa Inggeris," katanya memaklumkan wanita itu berasal dari Kuala Ketil.

Anwar Sharifudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua rakan lelaki itu yang juga warga China turut berada di tingkat atas rumah berkenaan.

Katanya, laporan polis dibuat dan PADK mengeluarkan notis perintah terhadap wanita itu supaya hadir ke pejabat agama Ahad ini untuk diambil keterangan.

"Lelaki warga China itu akan dipanggil untuk diambil keterangan juga tetapi tidak dikenakan tindakan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.