"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Isteri orang dicekup khalwat dengan lelaki warga China

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ISTERI orang dan lelaki warga China dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Merawan, Kulim. FOTO Ihsan PADK.
ISTERI orang dan lelaki warga China dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Merawan, Kulim. FOTO Ihsan PADK.
Kulim: Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki warga China dalam serbuan di Taman Merawan, di sini, tengah malam tadi.

Wanita berusia 27 tahun yang mempunyai dua anak lelaki berusia enam dan lapan tahun itu mengenali warga asing terbabit sejak lima bulan lalu selepas bekerja di kilang sama di daerah ini.

Dia didakwa sering memberi alasan bekerja lebih masa kepada suaminya dan ke rumah sewa lelaki berusia 39 tahun itu, kononnya untuk melakukan kerja yang membabitkan komputer.

Difahamkan, suami wanita itu yang berusia 30-an sudah lama mengesyaki kelakuan sumbang isterinya, namun tiada bukti sehinggalah terbongkar malam tadi.

Ketika serbuan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), lelaki itu hadir di lokasi bersama ibu bapa mentuanya.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, tangkapan dilakukan pada 12.40 tengah malam berdasarkan maklumat dan aduan awam yang diterima.

"Ketika serbuan pasangan terbabit berada dalam bilik tingkat bawah rumah dua tingkat itu dengan wanita berkenaan memakai baju kelawar, manakala lelaki warga China terbabit berseluar pendek hitam dan mengenakan baju lengan pendek.

"Pasangan itu hanya berkomunikasi melalui terjemahan bahasa melalui telefon bimbit malah pihak kami turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat disebabkan lelaki itu tidak fasih berbahasa Inggeris," katanya memaklumkan wanita itu berasal dari Kuala Ketil.

Anwar Sharifudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua rakan lelaki itu yang juga warga China turut berada di tingkat atas rumah berkenaan.

Katanya, laporan polis dibuat dan PADK mengeluarkan notis perintah terhadap wanita itu supaya hadir ke pejabat agama Ahad ini untuk diambil keterangan.

"Lelaki warga China itu akan dipanggil untuk diambil keterangan juga tetapi tidak dikenakan tindakan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Tiada ulasan: