"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Khir: Pakatan serang saya untuk alih isu sebenar

Bekas menteri besar Selangor menyifatkan serangan terhadap pentadbiran beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak tiga hari berturut-turut sebagai usaha mengalih isu sebenar yang sedang berlaku di negeri itu.

"Selepas setahun dewan bersidang, (wakil rakyat Pakatan Rakyat) masih serang saya," kata Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, kini sebagai ketua pembangkang, kepada pemberita ketika sidang DUN berhenti rehat tengah hari ini.

"Tidak ada keputusan konkrit dibuat selepas dua hari (DUN) bersidang."

Wakil rakyat Sungai Panjang itu turut menafikan wujud penyalahgunaan kuasa melibatkan 21 perjalanan udaranya ke luar negara yang berjumlah RM349,134.

"Itu (perjalanan) untuk (tempoh) lapan tahun. Itu lawatan pelaburan. Hasilnya, saya berjaya dapatkan pelaburan sebanyak RM48 bilion," katanya.

Dr Mohamad Khir menjelaskan, beliau bahkan sedaya mungkin menjimatkan wang kerajaan sehingga hadir lima majlis satu hari supaya tidak perlu membuat kunjungan balas lagi selepas itu.

Beliau juga menafikan dakwaan Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) bahawa isterinya Zaharah Kechik menggunakan aset sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Kumpulan Darul Ehsan Sdn Bhd (KDEB) untuk tujuan peribadi sewaktu memimpin negeri itu.

Diminta mengulas tindakan beliau mengecam wakil rakyat PAS itu di lobi DUN semalam, beliau berkata: 

"Saya tidak ada masalah dengan beliau (Saari). Tetapi tindakan menuduh orang yang tidak terlibat dalam dewan perlu dielakkan. 

"Kena semak fakta, bukan memfitnah."

Dalam persidangan DUN semalam, Saari mendedahkan sebuah anak syarikat KDEB, Syarikat Cekal Tulen telah membeli kereta Range Rover bernilai RM500,000 untuk kegunaan kerja, tetapi ia digunakan oleh Zaharah.

Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) mendakwa sebuah syarikat agen pelancongan yang mempunyai 
hubungan kekeluargaan dengan Dr Mohamad Khir memonopoli khidmat perjalanan menteri besar, barisan exco kerajaan dan KDEB. 

Pemimpin PKR itu kelmarin membangkitkan beberapa isu, antaranya, pemberian jam mahal RM150,000 sewaktu Dr Mohamad Khir menjawat pengerusi anak syarikat kerajaan negeri PNSB, perbelanjaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) ke Disneyland di Tokyo dan Hong Kong, dan juga pembelian hartanah di Arab Saudi. 

Sementara itu, mengulas populariti anak bekas perdana menteri, Datuk Mukhriz Mahathir mendahului beliau sebagai calon ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Khir berkata beliau juga mempunyai peluang yang sama adil.

"Kalau media promosi, sudah tentu dia dapat lebih. Kalau media promosi Tun Dr Mahathir, ya, itu cara dia (Mukhriz) dapat populariti," katanya lagi.

Tinjauan Merdeka Center yang diumumkan semalam mendapati, Mukhriz mendapat 52 peratus pilihan responden bagi jawatan tersebut, berbanding Khairy Jamaluddin dan Dr Mohamad Khir - masing-masing 11%.

Tanpa membuat penjelasan terperinci, Dr Mohamad Khir turut mendakwa terdapat ahli Umno sendiri yang berpakat dengan PKR bagi menjatuhkan dalam pemilihan Umno, hujung bulan ini.                                                                                                        -malaysiakini-

Tiada ulasan: