"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha Politik nafi 'krisis' dengan Syed Hamid

KUALA LUMPUR Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Prof Datuk Dr. Abdul Razak Omar menafikan desas-desus kononnya beliau mengambil cuti selama sebulan kerana berselisih faham dengan Syed Hamid.

Beliau berkatam tohmahan kononnya beliau kini dalam proses meletakkan jawatan kerana tidak lagi dapat bekerja untuk Syed Hamid merupakan satu fitnah yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tertentu menjelang pemilihan Umno pada penghujung bulan ini.

"Hubungan saya dengan Datuk Seri (Syed Hamid) adalah baik dan tidak timbul soal saya berselisih faham dengan beliau sehingga terpaksa mengambil cuti selama sebulan.

"Desas-desus ini kini menjadi bahan hangat yang dicakapkan terutama di kalangan anggota Umno di bahagian Kota Tinggi dan ini sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk memburukburukkan nama Datuk Seri (Syed Hamid) terutama menjelang perhimpunan Umno yang semakin hampir," katanya kepada Bernama.

Ditanya tentang sebab sebenar beliau mengambil cuti panjang menjelang perhimpunan agung Umno, Abdul Razak menjelaskan bahawa beliau terpaksa mengambil keputusan itu kerana hendak memberi sepenuh tumpuan kepada keluarganya.

"Anak lelaki saya kini sedang berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang sejak dua minggu lepas disebabkan oleh virus dan memerlukan sepenuh perhatian daripada saya," katanya.

Oleh itu, katanya beliau tidak dapat memberi komitmen yang sepenuhnya terhadap tugas beliau sebagai setiausaha politik terutama dalam keadaan sekarang yang memerlukan komitmen yang besar dalam membantu Syed Hamid yang bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti.

Justeru beliau berharap supaya pihak-pihak berkenaan menghentikan fitnah terhadap dirinya dan menegaskan bahawa beliau tetap berdiri teguh di belakang Syed Hamid dalam menghadapi pertandingan dalam parti sungguhpun beliau terpaksa bercuti dan tidak dapat membantu secara langsung.

Abdul Razak juga menafikan tohmahan kononnya beliau adalah Setiausaha Politik yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah baru-baru ini kerana disyaki menerima rasuah daripada kontaktor.BERNAMA


Tiada ulasan: