"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gani, Musa bebas, Anwar kata meluat

Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

 KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau 'meluat' dengan hasil laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak bersalah memalsukan bukti siasatan kes mata lebam beliau kira-kira 10 tahun lalu.

"Saya rasa ia sesuatu yang mengecewakan bagi kes ini memandangkan terdapat bukti yang kukuh," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Abdul Gani dan Musa didapati tidak bersalah dalam memalsukan bukti siasatan kes mata lebam Anwar 10 tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan pihak polis dan SPRM.

Katanya, SPRM telah melantik tiga panel bebas yang terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad bagi mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan juga menjelaskan tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua individu tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau telah menghantar semua bukti yang ada kepada ahli-ahli panel penyiasat.

"Adalah sesuatu perkara yang biasa bagaimana mereka menguruskan sistem (siasatan) ini," katanya," katanya.

Anwar telah membuat laporan sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1 Julai tahun lalu dan 21 Februari lalu terhadap Abdul Gani dan Musa dengan mendakwa kedua-dua individu terbabit memalsukan bukti siasatan kes mata lebam beliau kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Abdul Gani dan Musa menafikan dakwaan itu. Musa sudah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar, manakala Abdul Gani juga turut menyuarakan hasratnya untuk menyaman Anwar.

-mstar.com.my-

Tiada ulasan: