"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M: Najib 'jerat leher' jika lantik anggota kabinet rasuah

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Tun Razak "akan menjerat lehernya sendiri" jika beliau melantik pemimpin yang rasuah menganggotai kabinet barunya nanti.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihanraya umum ke-13 yang akan datang," katanya.

Perdana menteri keempat itu menegaskan demikian dalam wacana mengenai Demokrasi dan Kepimpinan Masa Depan Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan hari ini.

Oleh itu, menasihati Najib supaya memastikan barisan kabinet terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah.

Dr Mahathir memang kritikal terhadap pentadbiran penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan sejak kebelakangan ini, juga turut kritikal terhadap Najib.

Najib akan diisytiharkan secara rasmi menjadi presiden Umno pada 26 Mac depan sewaktu perhimpunan agung Umno.

Bagaimanapun, tidak jelas bilakah beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri.

Najib dijangka mengambil alih kuasa daripada Abdullah sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kuasa, tetapi Dr Mahathir masih tidak yakin yang ianya akan menjadi kenyataan.

Menurut Dr Mahathir ia hanya satu konvensyen parti bahawa presiden Umno akan dilantik sebagai perdana menteri, tetapi ini tidak dikehendaki oleh undang-undang.

Daripada pengalamannya sendiri, Dr Mahathir berkata, perdana menteri ketiga, Tun Hussein Onn tidak melepaskan jawatannya sehinggalah dua minggu selepas beliau (Dr Mahathir) dilantik sebagai presiden Umno pada 1981.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: