"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PPSMI : Enam tahun rundingan meja bulat gagal

Nyza Ayob 

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Hrkh) - Pimpinan Umno yang dilihat mempertahankan PPSMI disifatkan seorang yang degil kerana rakyat telah memperlihatkan bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI sedangkan isu ini merupakan 'duri dalam daging' bagi Umno.

Perkara tersebut disuarakan oleh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Prof. Ir Wan Abu Bakar Wan Abas.

Perkara tersebut disuarakan oleh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Prof. Ir Wan Abu Bakar Wan Abas.

"Saya tidak tahu siapakah di dalam Umno yang masih ingin mempertahankan PPSMI sedangkan perhimpunan tersebut telah menunjukkan kekecewaan rakyat dengan pelaksanaan dasar tersebut,"katanya sewaktu ditemui Harakah.

Bagaimanapun beliau menaruh keyakinan Umno akan mengalah dengan desakan dan tuntutan rakyat yang mahukan bahasa Melayu dikekalkan dalam sistem pembelajaran dan pengajaran matematik dan sains.

"Kenyataan Dato' Seri Muhyiddin Yassin bahawa perkara ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Umno menunjukkan Umno akan menyelesaikan isu ini dengan segera. Isu ini merupakan duri dalam daging bagi mereka.

Dan dengan tiga pilihan raya kecil yang akan dihadapi awal April nanti, saya yakin Umno akan menyelesaikan isu ini sebelum berlangsungnya pilihan raya," katanya yang berpendapat jika isu PPSMI tidak diselesaikan akan terus membangkitkan kemarahan rakyat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Protem Seniman Paksi Rakyat(Paksi), Anual Bakri Haron turut menyangkal dakwaan Dato'Seri Hishamudin Husein bahawa wujudnya dalang di sebalik Himpunan 100,000 mansuhkan PPSMI.

"Saya lihat perhimpunan tersebut berlaku dalam keadaan aman. Tetapi siapa yang membuat provokasi sehingga menjadikan keadaan bercelaru? Dan siapakah dalang yang dimaksudkan? Pak Samad usianya sudah 76 tahun begitu juga dengan Dato' Hassan Ahmad. Mereka bukan kanak-kanak yang boleh 'digula-gula' serta dieksploitasi.

"Mereka sendiri mengorbankan diri kerana melihat sudah enam tahun rundingan meja bulat yang tidak memberi kesan apa-apa. Kenyataan bahawa kertas kabinet PPSMI telah berada di peringkat akhir adalah alasan yang sering diberikan. Asyik-asyik di peringkat kajian. Tidakkah ia menemui jalan penyelesaian?"soalnya.

Dalam pada itu,beliau melahirkan kekhuatirannya dengan sikap bertangguh kerajaan sama ada PPSMI akan diteruskan atau akan menyebabkan keadaan semakin parah.

Jelasnya, sikap tersebut menyebabkan kemarahan rakyat makin membuak-buak terhadap pihak yang membuat keputusan.

Sementara itu katanya, kenyataan Abdullah agar keputusan segera diambil agar tidak menimbulkan keadaan yang lebih parah tidak dihiraukan pimpinan bawahan dan seolah-olah dilihat tidak akur dengan arahan Perdana Menteri.

"Keadaan ini harus disemak oleh pimpinan Umno. Lebih-lebih lagi dalam suasana menjelang Perhimpunan Agung Umno tidak lama lagi," katanya dalam satu pertemuannya dengan Harakah. 

Tiada ulasan: