"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bertanding di Penanti: Keputusan Najib atau Mahathir

Adnan Ibrahim 
Wed | Apr 29, 09 | 12:47:42 pm MYT

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin sukar membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti pada 31 Mei ini. 

Pertama, Najib makin sukar mengelak campur tangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemerintahan beliau.

Mahathir mula menyusun anaknya Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz dalam Kabinet Najib dan mencantas musuh politik beliau dan anaknya. Beliau makin berani mengkritik ahli Kabinet yang tidak disukainya.

Projek Jambatan bengkok bagi menggantikan tembok Johor mula berbangkit kembali menggambarkan semakin ketara peranan Mahathir dalam pemerintahan Najib.

Kedua, walaupun baru menyertai semula Umno, Mahathir sudah campur tangan dalam soal parti tersebut. Selaku Presiden, Najib mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil di Dun Penanti.

Najib memberi alasan yang cukup kukuh sehingga pemimpin parti sekutu Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan pendapat beliau. Malah ada yang mencadangkan BN tidak menyertai pilihan raya itu tetapi meletakkan calon bebas supaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menang mudah.

MCA dan Gerakan menyatakan sokongan padu supaya tidak bertanding di Penanti. Ada setengahnya berpendapat jangan dilayan karenah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyokong cadangan Najib kerana mendakwa pilihan raya kecil itu berpunca daripada masalah dalaman pakatan rakyat.

Naib presidennya, Huan Cheng Guan turut menyokong cadangan Najib itu bagi mengelak pembaziran wang dan tenaga, tetapi menyarankan agar kepimpinan BN supaya menghalang ahlinya daripada bertanding sebagai calon bebas.

Setiausaha agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkongsi pandangan dengan Najib bahawa tidak perlu bertanding kerana ia membazirkan masa, tenaga dan wang rakyat.

Tambah Subramaniam, masa yang dibazirkan dalam pilihan raya tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang berfaedah.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata BN tidak sepatutnya mengaku kalah dan perlu meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dun Penanti, Pulau Pinang.

"Saya fikir kalau kawasan itu kawasan Umno, kita tentu bertanding, ini pasal kita ingat ini kawasan parti lawan, kita tak nak bertanding. Jadi kalau kita nak tunggu kawasan Umno, nanti tidak ada kawasan Umno, kita tak bertandinglah," katanya.

Teguran Mahathir ini merunsingkan Najib. Jika BN bertanding bermakna, rakyat melihat beliau semakin dipengaruhi Mahathir . Beliau sudah tidak mempunyai pendirian tetap dan tersendiri. Beliau boleh dipengaruhi sewenangnya.

Sedangkan keputusan awal yang dibuat beliau supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti disokong majoriti pemimpin sekutunya dalam BN tetapi akhirnya beliau kendur dengan pendapatnya sendiri.

Kenapa? Hanya bermula daripada teguran Mahathir. Sebagai langkah selamat untuk mengelak keputusannya dikuasai Mahathir beliau dikatakan mengarah supaya dibuat tinjauan pendapat Umno bawahan sama ada setuju menyertai pilihan raya atau tidak.

Tiada ulasan: